Isnin, 10 Ogos 2009

Umno Bukit Mertajam tolak cadangan pindaan perlembagaan parti

BERNAMA


BUKIT MERTAJAM: Umno Bahagian Bukit Mertajam yang mengadakan persidangan perwakilannya di sini hari ini menolak sebulat suara cadangan pindaan perlembagaan parti itu.

Ketuanya, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, 173 perwakilan daripada 38 cawangan di bahagian itu menolak cadangan pindaan perlembagaan Umno kerana ia dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

"Sepatutnya, setiap anggota dan bahagian perlu mendapatkan penjelasan yang terperinci mengenai perkara-perkara yang hendak dipinda dan diberikan masa yang mencukupi untuk membincang dan membahaskannya," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya sebelum sebarang pindaan dibuat terhadap perlembagaan parti, kajian teliti perlu dibuat mengenai kesesuaian pindaan dan implikasinya.

Musa, yang membentangkan usul menolak cadangan itu, mahu anggota Majlis Tertinggi Umno turun ke setiap bahagian dan menjelaskan secara terperinci pindaan yang hendak dilakukan supaya ia dapat diterima secara menyeluruh.

Katanya, penjelasan yang diberikan kepada wakil bahagian sebelum ini tidak lengkap dan tidak difahami sepenuhnya.

Sehubungan itu, Musa berkata, bahagian berkenaan membuat ketetapan meminta Umno pusat mengkaji semula semua pindaan yang dicadangkan dan memberikan lebih masa untuk idea itu dicanai sebelum dipersetujui.

Tiada ulasan: