Isnin, 17 Ogos 2009

Tindakan jika naikkan harga penutup mulut, hidung

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap pembekal dan peniaga yang didapati mengambil kesempatan menaikkan harga penutup hidung dan mulut secara melampau berikutan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diharap dapat menjadi pengajaran kepada peniaga lain supaya tidak melakukan perkara yang sama.

''Sememangnya tindakan menaikkan harga penutup hidung dan mulut merupakan tindakan tidak berhati perut dan tidak bertanggungjawab.

''Saya menyarankan Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri mengadakan pemantauan dan mengambil tindakan terhadap mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, pembekal dan peniaga penutup hidung dan mulut sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam membantu kerajaan menangani penularan wabak berkenaan.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, bekalan stok alat perlindungan di beberapa premis farmasi di ibu negara terputus sejak beberapa hari lalu ekoran masalah untuk memperolehnya daripada pembekal.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah pula meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat mengenai peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.

''Orang ramai juga boleh membuat aduan di laman web FOMCA agar tindakan terhadap peniaga terbabit dapat diambil.

''Mereka tidak sepatutnya menunjukkan sikap tamak dan mengambil kesempatan terhadap pengguna dalam keadaan kekurangan stok alat tersebut,'' ujar beliau.

Justeru, Shaani berharap kerajaan dapat menentukan harga piawaian bagi alat tersebut sebagai garis panduan kepada para peniaga.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, tindakan yang tegas perlu diambil terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab.

''Saya berharap peniaga yang melakukan salah laku itu disenaraihitam. Jika perlu lesen perniagaan juga boleh ditarik balik,'' ujarnya.

Tambahnya, CASSA telah menerima lebih 45 aduan hari ini mengenai masalah kenaikan harga alat tersebut.

Tiada ulasan: