Isnin, 3 Ogos 2009

Tiga mesin ATM dilontar 'molotov cocktail'

BERNAMA


IPOH: Tiga mesin ATM di Sitiawan, kira-kira 80 km dari sini, dilontar dengan "molotov cocktail" oleh beberapa lelaki yang menaiki sebuah kereta, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Jamil Osman berkata kejadian berlaku antara pukul 1 dan 3 pagi di tiga bank sekitar Taman Samudera, Sitiawan, namun ia tidak mengakibatkan kebakaran atau kerosakan serius.

Beliau berkata molotov cocktail itu dibaling ke ATM di Public Bank, AmBank dan Maybank di taman itu, dan menurutnya polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di bank-bank berkenaan bagi membantu siasatan.

"Motif serangan belum dapat dipastikan, dan berdasarkan maklumat awal kumpulan itu didapati menaiki sebuah kereta semasa melontarkan botol berisi minyak petol berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Jamil berkata pasukan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas menerima maklumat mengenai kejadian, dan menurutnya semua mesin ATM berkenaan tidak kehilangan wang akibat kejadian.

Tiada ulasan: