Isnin, 17 Ogos 2009

Tiga menteri bincang isu sensitif dalam internet Rabu ini

BERNAMA

MELAKA: Tiga menteri akan bermesyuarat Rabu ini untuk membincangkan isu-isu sensitif yang dibangkitkan dalam alam siber dan internet yang menyentuh agama, institusi rajaraja dan hubungan antara kaum, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang akan membincangkan paparan dalam alam siber dan internet.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan akan juga menghadiri mesyuarat itu.

"Kerajaan tidak mahu ada pihak melihat kedudukan institusi rajaraja diperlekehkan begitu sahaja sedangkan institusi raja-raja memayungi semua kaum di negeri ini dan bukan satu kaum tertentu sahaja.

"Begitu juga isu agama yang boleh menuntut kepada ketegangan kaum," kata Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Tangga Batu di sini petang semalam.

Turut hadir ialah Ketua Umno bahagian itu Datuk Idris Haron yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno.

Mengenai siasatan terhadap tiga pemimpin utama pembangkang yang dilaporkan terlibat dalam perhimpunan haram penyokong Gerakan Mansuh ISA (GMI) yang mendesak dihapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara pasa 1 Ogos lepas, Hishammuddin berkata siasatan polis masih diteruskan.

Tiga pemimpin itu Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang.

Hishammuddin dilaporkan berkata pada 2 Ogos lepas bahawa siasatan akan dijalankan terhadap ketigatiga mereka dalam penglibatan penganjuran perhimpunan haram itu sama ada bertindak secara langsung atau sebagai dalang.

Tiada ulasan: