Sabtu, 22 Ogos 2009

Tidak banyak isu, kempen Permatang Pasir masuk fasa kedua

Analisis Oleh G.MANIMARAN


PILIHAN RAYA raya kecil kerusi Permatang Pasir sepatutnya mencatatkan rekod tersendiri disebabkan beberapa faktor. Dari awal-awal lagi sudah dianggap bahawa Permatang Pauh merupakan satu-satunya kawasan di dunia yang telah mengadakan begitu banyak pilihan raya dalam tempoh satu setengah tahun.

"Dalam dunia, inilah kawasan yang telah diadakan begitu banyak pilihan raya dalam tempoh yang singkat," kata bekas Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Empat pilihan raya telah diadakan di bahagian Parlimen Permatang Pauh antara Mac 2008 dan sekarang.

Kedua-dua parti musuh tradisi - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat mengumumkan calon masing-masing pada hari yang sama - Jumaat lalu dalam tempoh selang enam jam. Ini pun jarang berlaku tetapi disaksikan di Permatang Pasir minggu lalu.

Bekas calon pilihan raya kecil yang turut disebut-sebutkan akan bertanding pilihan raya kecil kali ini - Kamarul Ramizu Idris, pakar motivasi - mengubah fikirannya pada minit-minit terakhir, sekali gus menyaksikan ia menjadi tumpuan BN dan PAS sahaja - mengulangi saingan Mac 2008.

Umno Bahagian Permatang Pauh telah mengadakan persidangan perwakilan tahunan mereka sehari sebelum berlangsungnya proses penamaan calon.

Ucapan Ketua Umno bahagian, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid menggambarkan bahawa 'perpecahan' dalam bahagian itu masih berlarutan sejak tahun lalu.

GEAR

Dua hari lalu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan jenteranya bergerak dengan lancar dan sudah berada dalam gear ketiga.

Mengambil kira penilaian itu, kemungkinan besar jentera BN akan memasuki gear keempat esok ketika hanya tinggal tiga hari menjelang hari pengundian Selasa ini.

Malah ketika Muhyiddin, Timbalan Pengerusi Umno melangkah ke kawasan yang bernama Tanjung Putus - pertama kali seorang pemimpin tertinggi dari luar Pulau Pinang membuat kunjungan, ramai mengharapkan ia akan membawa cahaya kepada perpaduan dalam Umno Bahagian Permatang Pauh.

Calon BN, Rohaizat Othman berucap dengan mengharapkan sokongan dan bimbingan daripada para pengundi.

Ketua Pemuda Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said pula menjanjikan sokongan padu walaupun beliau tidak menjadi calon. Beliau yang turut dikenali sebagai "Cikgu Zaidi" disebut-sebut akan menjadi calon tetapi tidak terpilih.

Ramai penyokongnya kecewa. Pemilihan Rohaizat yang dibuat tanpa syor daripada Bahagian Permatang Pauh telah diputuskan oleh pucuk kepimpinan pusat.

Bagi PAS, kata Pengarah Pilihan Raya Kecilnya, Mahfuz Omar, pihaknya menggunakan gear standard untuk mendekati pengundi-pengundi kerusi DUN Permatang Pasir.

"Kita tak gunakan satu gear yang khusus sepanjang kempen. Adakalanya kita gunakan gear satu, kemudian dua, tiga dan sebagainya, malah adakalanya menggunakan gear empat kemudian berundur, tetapi akhirnya semoga selamat sampai.

"Dalam erti kata yang lain, kita mahu mencapai kemenangan dalam pilihan raya. Kami tidak mahu gunakan gear lima tapi tak sampai destinasi (mencapai matlamat)," kata yang turut menolak dakwaan-dakwaan menyentuh aspek peribadi calon mereka, Mohd. Salleh Man.

Ada laporan yang mendakwa Salleh telah menyalahgunakan RM600,000 ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos tahun lalu.

Kemudian tersebar pula SMS mengenai pinjaman dengan sebuah bank. Kedua-duanya dinafikan oleh Mahfuz dan Salleh sendiri."Jika mereka ada bukti, sila kemukakan," kata Mahfuz.

KEMPEN MASUK FASA KEDUA

Empat hari pertama kempen sudah berlalu. Hari ini calon-calon memasuki hari kelima iaitu menjelang kemunculan bulan Ramadan esok.

Dalam erti kata lain, tiga hari terakhir kempen kali ini akan berakhir awal Ramadan.Sepanjang empat hari lalu ceramah-ceramah yang diadakan telah menyentuh pelbagai isu.

Pun begitu, isu Rohaizat terus menjadi perhatian. PAS menyerang manakala Umno-BN pula cuba mempertahankan calonnya dengan kenyataan demi kenyataan.

Semalam Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap isu Rohaizat, Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, tidak diseret sebagai bahan kempen ataupun dipolitikkan.

Selepas empat hari kempen berjalan, Zahid yang juga Naib Presiden Umno merumuskan "kita dapati bahawa di kalangan orang muda mereka telah bersama dengan kita untuk sama-sama bergerak."

"Orang muda ini daripada semua kaum. Ini satu perkembangan yang sungguh menggalakkan. Kita harap ia dapat dipertahankan.

"Kalau momentum ini dapat dipertingkatkan dengan kerjasama pengundi-pengundi Cina dan pengundi-pengundi baru, saya fikir tidak mustahil untuk memperoleh kemenangan," katanya.

Tambah beliau, selama ini pengundi Cina ada faktor penentu kemenangan.

"Pengundi Cina sudah berubah, mereka ingin menyampaikan mesej kepada PAS bahawa cukup itu cukuplah. Saya rasa mereka lebih positif," katanya.

Oleh kerana yang bertanding sekarang ialah calon PAS berbanding Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos 2008, maka sikap itu telah berubah, kata Zahid sambil menambah, mungkin pengundi-pengundi Cina hendak menguji sama ada beliau boleh menunaikan janji yang diberikan atau tidak selepas kemenangan ini.

"Saya mempunyai rekod pencapaian yang baik dalam soal ini. Saya akan menunaikan janji, mana-mana projek yang munasabah akan saya laksanakan dengan segera (jika BN menang)," kata Zahid yang juga Menteri Pertahanan.

PAS juga meletakkan harapan pada pengundi-pengundi Cina yang dilihat akan menentukan turun naik jumlah majoriti. Mereka juga merasakan pengundi akan menentukan tahap kemenangan.

"Bagi kami setiap undi adalah penting tidak kira Melayu ataupun Cina. Kami melihat sokongan mereka kepada kami meningkat, khususnya sejak Mac 2008, penerimaan kepada parti PAS juga meningkat," kata Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.

RAMADAN DAN ISU

Kempen pilihan raya kecil ini bermula lima hari sebelum bermulanya bulan Ramadan. Esok kempen memasuki hari keenam - hari pertama bulan Ramadan.

Ramai menganggap bahawa kempennya akan 'dingin' menjelang hari pengundian Selasa ini. Aspek ini sudah tentu sesuatu yang cukup menarik.

Sepanjang empat hari lalu BN mengetengahkan pelbagai isu di Permatang Pasir. BN terus membangkitkan isu ikatan rapuh di kalangan parti komponen Pakatan dengan merujuk kepada situasi di Kedah dan Selangor.

Muhyiddin mengetengahkan soal amalan ajaran songsang. Beliau mendakwa pemimpin PAS membenarkan masyarakat bukan Islam hina Islam. Masalah-masalah dalam pentadbiran negeri-negeri ditadbir Pakatan juga menjadi tumpuan.

Pemimpin-pemimpin Pakatan khususnya Anwar terus menjadi bahan kecaman sebagai pengkhianat bangsa Melayu.

Baru-baru ini Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membangkitkan isu pengundi hantu di Permatang Pauh. Pada pilihan raya masa lalu isu ini banyak dibangkitkan oleh Pakatan.

Walaupun memasuki bulan Ramadan, Mahfuz pihaknya akan terus membangkitkan isu-isu yang menyentuh kepentingan pengundi setempat.

Beliau menolak andaian bahawa pihaknya akan menggunakan pendekatan menyerang peribadi.

"Kempen kami dari hari pertama tidak menggunakan pendekatan menyerang peribadi calon. Bukan kami yang memulakan serangan peribadi. Isu yang dibangkitkan khususnya berkaitan dengan calon BN Rohaizat adalah isu kepentingan awam.

"Isu Rohaizat ini bukan lagi isu peribadi. Ini adalah isu calon, Rohaizat sebagai calon," kata Mahfuz pada sidang media harian pagi tadi.

Isu kejatuhan kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat juga menjadi perhatian.

Kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor dan rasuah dan isu menyentuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga dibangkitkan dan dijadikan mesej kain rentang.

Masalah jualan arak di Selangor yang didakwa tidak selesai ketika BN memerintah juga dibangkitkan, pencapaian pentadbiran negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat disentuh.

Antara isu-isu ini, Pakatan Rakyat terus membangkitkan status kelayakan Rohaizat. Ia terus menjadi isu utama sehingga ke hari ini. Rohaizat menjadi sasaran bertubi-tubi PAS sejak Sabtu lalu.

Bagaimanapun hari ini Mahfuz menafikan bahawa pihaknya hanya hendak memperoleh kemenangan dengan bersandarkan isu Rohaizat semata-mata.

Menurut Mahfuz, Pakatan akan membuat pendedahan baru esok.

PAS juga membenarkan bekas rakan kongsi Rohaizat, Yusri Isahak yang muncul pada sidang media semalam buat kali pertama untuk menggunakan platform kempennya bagi membersihkan nama.

Dia muncul lagi malam ini. Suasana ini mirip ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008.

Ketika itu Imam Masjid Wilayah, Ramlan Porigi yang menjadi saksi upacara mengangkat sumpah Saiful Bukhari Azlan, yang menuduh Anwar meliwatnya, muncul pada kempen hari-hari terakhir Pakatan Rakyat.

Keesokan harinya dia muncul pada sidang media.

Umumnya, tidak banyak isu baru setakat ini kecuali isu calon BN Rohaizat. Kemungkinan besar tidak akan ada isu baru sepanjang tempoh tiga hari akan datang.

Pemerhati-pemerhati melihat kempen fasa pertama adalah lebih rancak di Manek Urai berbanding di Permatang Pasir. PAS hanya mengharapkan kemenangan. Ia tidak kisah soal majoriti.

BN mahu melakukan kejutan dalam pilihan raya kecil kelapan ini selepas hanya menang di Batang Ai awal April lalu.

Tiada ulasan: