Ahad, 9 Ogos 2009

Tiada laporan pelajar terbabit demo GMI

SINAR HARIAN ONLINE


PASIR GUDANG - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin memaklumkan setakat ini masih tidak menerima sebarang laporan daripada polis yang membabitkan pelajar dalam demonstrasi Gerakan Mansuh ISA (GMI), Sabtu lalu.

Beliau berkata, sehingga hari ini tiada seorang pelajar dimaklumkan terlibat demonstrasi itu, bagaimanapun jika ada pelajar terbabit akan dikenakan tindakan sama mengikut undang-undang negara.

“Kita hanya akan dapat tahu jika dimaklumkan pihak berkuasa dan jika tiada kita beranggapan tiada pelajar yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian sijil pembelajaran sepanjang hayat Kolej Komuniti di sini, semalam.

Ditanya isu saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menyifatkan Anwar pengkhianat, sama ada saman menyaman kini menjadi ‘trend’ sesetengah ahli politik, beliau berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, hak menyaman seseorang itu tidak boleh dihalang.

Menurutnya, kes saman Anwar terhadap Muhyiddin itu akan mengambil masa lama memandangkan banyak kes lain melibatkan Anwar masih tertangguh.

“Kes Anwar (hubungan liwatnya) sendiri belum selesai apatah lagi kes seperti ini dan lihat saja berapa banyak saman yang dikemukakan Anwar sebelum ini belum selesai.

“Ini yang dikatakan gimik politik, apabila terkena pada diri beliau sendiri (Anwar),beliau kata jangan percaya kehakiman tetapi sekarang hendak bawa perkara seperti ini kepada kehakiman,” katanya.

Khaled berkata, Kementerian Pengajian Tinggi sedang mengkaji peranan Kolej Komuniti supaya kolej itu bergerak bebas tanpa bernaung di bawah Jabatan Politeknik seperti sebelum ini.

Menurutnya, kementerian akan memperluaskan lagi Kolej Komuniti dan akan menambah 10 lagi tahun ini kepada 68 kolej di seluruh negara.

Tiada ulasan: