Ahad, 23 Ogos 2009

Tiada kematian dalam tempoh 24 jam

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Tiada kes kematian disahkan akibat jangkitan selesema babi atau influenza A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 9 pagi hari ini.

Ekoran itu, jumlah kematian disebabkan H1N1 kekal 68 kes seperti dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, sehingga tempoh itu juga, sejumlah 230 pesakit dengan gejala seperti influenza (ILI) dimasukkan ke wad dan seramai 310 sudah dibenarkan keluar.

"Ketika ini, baki pesakit yang masih dirawat adalah 1,476 orang dan mereka ini ditempatkan di 102 buah hospital di seluruh negara termasuk di tiga buah hospital swasta.

"Daripada jumlah ini, hanya 316 atau 21 peratus yang disahkan positif H1N1 dan selebihnya mengalami ILI," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada 316 kes yang disahkan H1N1 itu, 40 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, daripada 40 kes di ICU itu pula, lebih separuh iaitu 25 kes atau 63 peratus mempunyai faktor risiko seperti kanak-kanak dan bayi sebanyak 7 kes, diabetes (5), asma (3), obesiti (3), mengandung (1) serta kanak-kanak istimewa (1).

Menurut Mohd. Ismail, usaha menghentikan wabak H1N1 memerlukan kerjasama semua.

"Individu yang ada ILI perlu bertanggungjawab bagi mengelakkan ia berjangkit dengan cara tidak mengunjungi tempat-tempat awam dan kawasan sesak termasuk Bazar Ramadan dan masjid.

"Jika perlu menjalankan urusan di luar rumah yang amat mustahak, penghidap ILI perlu mengikuti langkah pencegahan disarankan kementerian kerana jangkitan H1N1 serius terutamanya kepada golongan berisiko tinggi," katanya.

Beliau memberitahu, maklumat dan perkembangan semasa berhubung H1N1 boleh diperolehi melalui talian 03-88810200 yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang atau di laman web http://www.moh.gov.my.

Mengenai keadaan H1N1 di seluruh dunia, katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan penularan wabak berkenaan masih aktif di 182 negara.

Mohd. Ismail berkata, sehingga pukul 8 pagi hari ini, terdapat peningkatan 1,227 kes H1N1 menjadikan kes terkumpul 234,569 kes dan jumlah itu turut membabitkan pertambahan 34 kes kematian yang kini 2,433 kes.

Tambahnya, jumlah yang dicatatkan itu tidak menunjukkan gambaran sebenar penularan wabak H1N1 kerana WHO tidak lagi mewajibkan kes dilaporkan.

Tiada ulasan: