Ahad, 23 Ogos 2009

Terminal bas RM20 juta akan dibina

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan membina sebuah terminal bas yang bernilai RM20 juta di Seksyen U1, dekat sini dalam masa terdekat sejajar usaha untuk memberikan kemuda han pengangkutan awam yang selesa dan sistematik kepada penduduk di bandar raya ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md. Noor berkata, terminal bas itu akan dibina di sebuah lokasi yang strategik seluas 4.4 hektar berhampiran Jalan Jubli Perak, di Seksyen U1 untuk memudahkan pengguna pengangkutan awam dan secara tidak langsung, membantu penduduk Shah Alam yang telah bertahun memerlukan satu sistem pengangkutan awam cekap dalam bandar raya ini.

Menurutnya, satu sistem pengangkutan awam cekap diperlukan apabila jumlah penduduk semakin bertambah dan penting terutamanya kepada pelajar yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang terdapat di bandar raya ini.

“Tapak Batu Tiga dipilih kerana kedudukannya memudahkan pengguna kerana ia terletak berhampi ran Lebuh Raya Persekutuan, lebuh raya NKVE, lebuh raya Kesas dan Guthrie Corridor Expressway berbanding tapak yang dicadangkan sebelum ini tidak sesuai kerana terletak berhampiran kawasan kediaman dan kini dibangunkan menjadi Universiti Sains dan Pengurusan, Seksyen 13.

“Terminal bas itu mempunyai tiga tingkat akan dibina dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan lebih ‘mesra pengguna’ serta juga akan menjadi sebagai mercu tanda terminal bas moden kerana dilengkapi dengan prasarana yang baik dan kondusif,” katanya.

Menurutnya, terminal bas itu juga akan memberikan keselesaan kepada pengguna kerana ia lebih sistematik dan memberikan kemudahan kepada pengguna pengangkutan awam terutamanya ketika diadakan majlis keramaian seperti sambutan perayaan hari raya dan sambutan hari kemerdekaan.

“Terminal bas itu akan dibina dengan rekaan yang canggih, ringkas dan moden serta menyediakan kemudahan kepada pengguna pengangkutan awam sama ada untuk perjalanan dalam bandar raya sahaja dan pengangkutan ke negeri lain,” katanya.

Mazalan berkata, dengan adanya kemudahan terminal bas ini yang dijangka siap dua tahun lagi, diharap ia akan memberikan kemudahan kepada pengguna yang ingin melakukan perjalanan dekat dan jauh terutamanya penduduk yang tinggal di sekitar bandar raya ini, Petaling Jaya, Subang Jaya.

Beliau berkata terminal bas itu dapat memuatkan 3,000 hingga 5,000 pengguna dalam satu masa dan ia lebih kondusif kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti 10 eskalator dan lapan kemudahan lif.

“Bangunan ini mempunyai tempat mengambil dan menurunkan penumpang di tingkat pertama, tingkat kedua disediakan kaunter tiket dan kedai manakala tingkat tiga pula disediakan tempat meletakkan kenderaan.

“Pembinaan terminal bas ini melibatkan dua fasa yang mana fasa pertama akan memuatkan 40 bas dan fasa kedua pula 75 bas,” katanya.

Difahamkan, tanah yang akan digunakan untuk pembinaan tersebut merupakan tanah milik kera jaan dan hanya melibatkan dua pemilik tanah sahaja dalam proses pembelian.

Tiada ulasan: