Khamis, 20 Ogos 2009

Terjemah akhbar Cina ditimbang

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA


KUALA LUMPUR - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sedang menimbang untuk menyiarkan terjemahan akhbar-akhbar berbahasa Cina kepada khalayak.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, terjemahan itu sudah dibuat sejak 1984 tetapi ia tidak disiarkan sebaliknya sekadar untuk simpanan kementerian.

Menurutnya, sekiranya kandungan akhbar terbabit didapati bertentangan dengan perundangan dan melibatkan isu sensitif, ia akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.

"Sekiranya keperluan mendesak, kita akan pertimbangkan untuk menyiarkannya di dalam slot tertentu menerusi program di Radio Televisyen Malaysia (RTM)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn. Bhd, Datuk A. Kadir Jasin mencadangkan supaya pemantauan dibuat ke atas akhbar-akhbar Cina di negara ini yang menurutnya semakin bebas mengeluarkan berita dan artikel bersifat cauvinis.

Beliau mencadangkan Jabatan Penerangan menterjemah kandungan akhbar Cina supaya rakyat dapat mengetahui isi kandungannya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia, Zaid Kamaruddin berkata, pihaknya diberitahu bahawa terdapat sesetengah akhbar Tamil mengeluarkan laporan bersifat cauvinis.

"Kadang kala mereka (akhbar vernakular) hanya bermain dengan agenda pembangunan kaum masing-masing tetapi kita khuatir ia keterlaluan," katanya ketika dihubungi.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia, Norila Daud pula menegaskan, isi kandungan 'lidah pengarang' kesemua akhbar Cina dan Tamil perlu diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

"Setelah kita memahami agenda perjuangan kaum lain, barulah tidak timbul syak wasangka di kalangan kita semua," ujarnya.

Tiada ulasan: