Khamis, 6 Ogos 2009

Teoh tidak ambil dadah, alkohol

MALAYSIA KINI


Seorang ahli kimia, Zaraiha Awang dari Jabatan Kimia memberi keterangan sebagai saksi ketujuh pada hari inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini.

Dalam keterangannya, Zaraiha berkata, beliau menerima sampel kandungan perut, darah dan air kencing Teoh.

Hasil pemeriksaan ke atas sampel tersebut, katanya beliau mendapati tidak ada kesan alkohol atau dadah dalam sistem badan Teoh pada masa kematiannya.

Inkues pagi ini bermula jam 9.20 pagi di mana saksi - pengawal keselamatan di Plaza Masalam, Abd Rahman Rahim dipanggil memberi keterangan.

Sebelum itu, DPP Tan Hock Chuan menyoal Abdul Rahman mengenai buku pelawat yang tiada diisi sejak berbulan lalu. Abdul Rahman mengakui tidak mengemaskini buku itu setiap masa.

Enam saksi telah dipanggil memberi keterangan semalam. Mereka terdiri daripada pengawal keselamatan di bangunan Plaza Masalam, seorang juruteknik dan seorang anggota polis dari balai Shah Alam.

Inkues tersebut berlangsung di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Manakala peguam Gobind Singh Deo merupakan peguam pemerhati bagi pihak keluarga Teoh.

Gobind menyoal Zaraiha sama ada beliau tahu sejarah kes kematian Teoh dan spekulasi yang Teoh 'ditolak'.

Tan mencelah dengan berkata soalan tersebut tidak relevan.

Gobind membalas dengan bertanya mengapa perkataan "ditolak" dan 'bunuh diri" tidak boleh digunakan.

"Bukankah ini inkuiri terhadap kematiannya," kata Gobind.

Beliau bertanya mengenai kemungkinan terdapatnya kandungan adrenalin yang tinggi jika seseorang itu hampir jatuh atu ditolak dari tempat yang tinggi dan Zaraiha menjawab 'ya'.

Sehubungan itu, Gobind bertanya kepada Zaraiha sama ada beliau melakukan ujian adrenalin dan Zaihara menjawab 'tidak'.

Gobinda bertanya adakah Zaraiha tidak melakukan ujian tersebut kerana pihak polis tidak memintanya berbuat demikian.

Zaraiha menjawab bahawa Adrenalin bukanlah satu jenis dadah biasa dan ia dihasilkan secara semula jadidalam badan.

Apabila ditanya oleh Gobind sama ada beliau akan menjalan ujian tersebut jika diminta oleh pihak polis, Zaraiha berkata, ujian toksikologi tidak termasuk ujian adrenalin.

Koroner Azmil Muntapha pula bertanya sama ada terdapat perbezaan jika si mati ditolak dan sama ia boleh dikesan dalam ujian toksikologi.

Zaraiha : "Saya tidak berpengalaman untuk menjawab soalan itu."

Azmil : "Adakah pengetahuan sama ada si mati ditolak atau tidak akan mempengaruhi ujian mengesan kehadiran dadah atau racun dalam badan mangsa?"

Zaraiha : "Tidak."

Dalam keterangannya, Zaraiha juga mengesahkan bahawa Teoh tidak mati kerana diracun, mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah.

Zaraiha berkata demikian setelah menjalankan analisis mengesan dadah, alkohol dan racun dalam badan Teoh melalui empat sampel spesimen yang diserahkan kepadanya oleh pegawai penyiasat pada 21 Julai lepas.

Katanya ujian toksikologi dilakukan bagi mengesan sama ada terdapat kesan racun atau sebarang bahan berbahaya terhadap spesimen biologi termasuk manusia dan haiwan.

"Hasil analisis saya mendapati tiada unsur ethanol, alkohol dan dadah biasa dalam spesimen itu," katanya.

Dalam keterangannya Zaraiha berkata sampel kandungan perut yang diterimanya berwarna kecoklatan yang merupakan warna biasa bagi kandungan perut manusia yang tidak mengandungi sebarang unsur dadah atau racun.

"Kandungan perut boleh berubah warna jika mengandungi unsur dadah atau racun, contohnya warna kelabu, jika terminum racun perosak," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Gobind bertanya kepada Zaraiha sama ada beliau ada pertimbangkan sejarah kes tersebut.

Zaraiha: "Dari borang polis yang diterima, saya dapati kes ini ialah kes jatuh dari bangunan tinggi. Saya ada tanya pada inspektor, diberitahu kes itu melibatkan setiausaha politik. Itu sahaja."

Gobind: "Ada baca surat khabar? Adakah kamu sedar sangkaan masyarakat dia ditolak dari bangunan tinggi?"

Peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik oleh kerajaan untuk membantu mengendalikan prosiding itu, bangun mencelah untuk membantah penggunaan perkataan 'ditolak' itu.

"Kita tidak tahu sama ada Teoh telah ditolak. Ini adalah pandangan sebelah pihak. Tujuan inkues ini diadakan adalah untuk mencari kebenaran. Saya tidak ada masalah sekiranya kamu mengajukan soalan ini kepada pegawai SPRM tetapi saksi ini adalah ahli kimia, tolong berlaku adil kepadanya.

"Jangan bersandiwara di sini, tolong bataskan soalan anda berdasarkan peraturan."

Gobind : "Tuan koroner kami di sini untuk mencari kebenaran. Adakah tuan bermaksud saya tidak boleh mencadangkan teori saya, iaitu saya tidak boleh kata ditolak, jatuh. Bagaimana kita hendak meneruskan prosiding jika keadaan berterusan begini?"

Koroner kemudian segera menghentikan pertikaman lidah antara dua peguam itu dan mengingatkan semua pihak supaya mengajukan soalan yang relevan dan berkaitan dengan bidang tugas saksi sahaja.

Gobind kemudian mengemukakan soalan terakhir kepada Zaraiha sama ada ahli kimia boleh membantu ahli patologi untuk menentukan masa kematian Teoh.

"Kalau dilihat secara fizikal keadaan mayat mungkin tidak boleh, tetapi jika spesimen diuji dan jika ada unsur dadah, kita boleh bantu memberitahu masa kematian," kata Zaraiha.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan itu.

Tiada ulasan: