Isnin, 17 Ogos 2009

Teoh tiada masalah psikologi: Pakar

BERNAMA


SHAH ALAM: Teoh Beng Hock tidak mempunyai masalah psikologi sehingga boleh mendorongnya membunuh diri, prosiding inkues di hadapan Koroner Azmi Muntapha Abas di sini hari ini diberitahu.

Pakar perunding kanan perubatan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang Dr Khairul Azman Ibrahim, berkata perkara itu diputuskan hasil temuramah yang beliau lakukan terhadap keluarga Teoh sebelum menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa.

"Saya bertanyakan kepada keluarga mangsa sama ada mangsa mempunyai masalah psikologi, masalah kesihatan dan masalah alkohol dan mereka menjawab tidak," katanya.

Selain itu, Dr Khairul Azman yang menyambung keterangannya pada hari ke-10 inkues berkata beliau turut bertanya kepada anggota keluarga Teoh sama ada mendiang ada berhutang atau dalam keadaan tertekan, merokok atau mengambil dadah dan mereka menyatakan bahawa mangsa ialah seorang yang terbuka dan suka berbincang.

Ketika ditanya peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo tujuan beliau menemuramah keluarga Teoh mengenai latar belakang mangsa, saksi ke-10 itu berkata beliau ingin mengetahui sama ada Teoh adalah seorang yang mempunyai kecenderungan membunuh diri.

Dr Khairul Azman juga berkata beliau mengetahui bahawa Teoh sepatutnya mendaftar perkahwinannya sehari selepas beliau ditemui mati melalui abang Teoh dan mengetahui bahawa tunang Teoh hamil dua bulan selepas membacanya di akhbar.

"Adakah kamu sahkan mengenai perkara itu (tunang Teoh hamil)," soal Gobind.

"Tidak. Saya cuma membaca dari akhbar," kata Dr Khairul Azman.

"Jadi berdasarkan fakta-fakta yang kamu perolehi, saya cadangkan bahawa Teoh bukanlah seorang yang cenderung untuk membunuh diri kalau dilihat kepada latar belakangnya," kata Gobind.

"Ya setuju. Kalau melihat kepada latar belakangnya, Teoh adalah seorang yang tegas dan mungkin kalau buat silap dia akan malu. Pada pendapat saya tiada alasan untuk si mati membunuh diri," kata Dr Khairul Azman.

Dr Khairul Azman turut memaklumkan bahawa beliau ada bertanya kepada abang Teoh sama ada beliau (abang Teoh) mengetahui mangsa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengapa mangsa disoal siasat oleh SPRM tetapi abang Teoh menjawab beliau tidak tahu.

Selain itu, Dr Khairul Azman berkata ketika beliau bertanya mengenai kemungkinan mangsa meninggal dunia akibat jatuh atau dibunuh, adik perempuan Teoh memberitahu beliau bahawa mangsa tidak mungkin jatuh.

"Tunang mangsa pula banyak berdiam. Nampak dari air mukanya dia pun tidak puas hati dan nak tahu kenapa mangsa boleh meninggal dunia. Jadi saya maklumkan kepadanya saya akan bantu jika ada apa-apa yang disyaki dalam bedah siasat dan saya tidak akan teragak-agak untuk beritahu mereka jika ia kes bunuh," katanya.

Dr Khairul Azman berkata selain keluarga Teoh, beliau turut mendapatkan gambaran dan latar belakang mengenai kejadian itu daripada pegawai penyiasat Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salahguna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di situ.

Tiada ulasan: