Khamis, 13 Ogos 2009

Teoh mungkin diheret, kata saksi

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


SHAH ALAM: Setiausaha politik Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock mungkin diheret kerana siasatan polis menunjukkan adanya kesan geseran di bahagian tepi kasut mendiang, kata saksi ke-13 inkues hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Pegawai Penyiasat Tempat Kejadian, Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor, Cif Insp Mazli Jusoh dalam keterangannya dihadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Tambah Mazli, hasil pemeriksaannya turut mendapati ada kesan geseran yang ketara di tapak kasut kanan mangsa.

"Ada kesan geseran ketara...kesan kapur," kata Mazli.

Bagaimanapun beliau menjelaskan tidak membuat pemeriksaan bagi mengesan dari mana kesan kapur itu datang.

Dalam pada itu, saksi ke-14, DSP Shahrul Othman Mansor, seorang pegawai makmal forensik Bukit Aman berkata beliau turut menemui kesan seperti tapak kasut di bahagian bawah tingkap yang dipercayai tempat Teoh jatuh dari tingkat 14 yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Di bahagian bawah (tingkap) kelihatan seperti kesan tapak kasut... tapi tak begitu jelas.

"Saya arahkan pegawai untuk ambil gambar... ukurannya lebih kurang sembilan inci (22 sentimeter)," kata Shahrul.

Tiada ulasan: