Rabu, 5 Ogos 2009

Tarikh peperiksaan utama tidak dipinda: Muhyiddin

Oleh Azrina Ahzan


PUTRAJAYA: Tarikh empat peperiksaan utama iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dikekalkan, walaupun jumlah sekolah yang ditutup akibat selesema babi atau Influenza A (H1N1) semakin meningkat.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu bertujuan mengelak gangguan terhadap jadual peperiksaan sedia ada.

Katanya, jika perlu hanya pelajar yang menduduki peperiksaan diminta hadir ke sekolah, manakala pelajar lain diberi cuti sehingga peperiksaan tamat.

Mengikut jadual, UPSR pada 8 hingga 10 September ini, PMR (7 hingga 13 Oktober), SPM (19 November hingga 16 Disember), manakala STPM 18 November hingga 10 Disember ini.

"Pelajar yang dijangkiti H1N1 boleh menduduki peperiksaan di hospital jika dimasukkan ke wad," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan antara kementerian mengenai Pandemik H1N1 Bilangan 2/2009 di sini, semalam.

Mengenai keputusan menutup sekolah, Muhyiddin berkata, Majlis Keselamatan Negara akan mengeluarkan garis panduan dan ia hanya boleh dilaksanakan dengan nasihat pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.

Mengulas sama ada cuti pertengahan penggal persekolahan akan diawalkan, katanya, perkara itu tidak dibincangkan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bekalan stok antiviral H1N1 akan dipertingkatkan 10 peratus dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak itu.

Katanya, penambahan membabitkan kos RM20 juta itu akan memudahkan usaha kementerian terbabit menyalurkan bekalan kepada hospital dan klinik swasta.

"Mesyuarat turut bersetuju dengan permohonan Kementerian Kesihatan supaya bekalan stok antiviral H1N1 dipertingkatkan daripada 10 peratus kepada 20 peratus," katanya.

Ketika ini, Muhyiddin berkata, Malaysia sudah mencatatkan sebanyak 1,460 kes H1N1 dengan lapan kematian apabila 14 lagi kes baru dilaporkan sehingga jam 8 pagi semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, 13 kes membabitkan tiga kluster baru manakala satu kes lagi adalah kes sporadik atau terpencil dan semuanya adalah kes jangkitan tempatan membabitkan warga Malaysia.

Muhyiddin turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kempen Media untuk memastikan kempen dengan lebih berkesan.

Tiada ulasan: