Rabu, 19 Ogos 2009

Susulan kapal tangki terbakar: 16 anak kapal selamat, 9 masih hilang

BERNAMA


TERBAKAR..Kejadian berlaku apabila kapal tangki minyak dari Liberia
ini melanggar sebuah kapal pengangkut muatan curah di perairan Selat
Melaka kira-kira 30 kilometer dari perairan Port Dickson malam tadi.
Dalam kejadian tersebut, 14 anak kapal telah berjaya diselamatkan
manakala 9 lagi dipercayai hilang. Foto UTUSAN.

PORT DICKSON: Enam belas krew termasuk kapten kapal tangki minyak yang terbakar malam tadi selamat dan dibawa ke jeti Port Dickson awal pagi ini, manakala sembilan lagi masih hilang.

Gerakan mencari dan menyelamat anak kapal yang masih hilang itu diteruskan pada pukul 7 pagi ini dan kapal terbabit kini hanyut memasuki perairan Indonesia.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Mazlan Othman berkata kesemua 16 anak kapal dan kapten diselamatkan antara pukul 2.30 pagi dan 3 pagi ini.

"Sebuah kapal kontena yang lalu di kawasan kemalangan turut membantu menyelamatkan anakanak kapal, ada di antara mereka yang terjun ke laut dan ada yang menggunakan bot kecil penyelamat milik kapal yang terbakar itu," katanya kepada pemberita di jeti Port Dickson awal pagi ini.

Beliau berkata majoriti anak kapal termasuk kaptennya adalah rakyat China, kecuali dua lelaki Korea.

"Mereka yang ditemui hanya cedera ringan dan telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut," katanya.

Usaha menyelamat mengalami kesukaran disebabkan bahang api yang marak malah cahayanya boleh dilihat dari 30 kilometer di pantai Port Dickson.

Kapten kapal itu, Jiang Han Cheng memberitahu pemberita, kapal mereka dalam perjalanan ke Singapura untuk mengisi minyak sebelum meneruskan penghantaran kargo ke Korea.

"Ketika berada di kawasan perairan Port Dickson, kapal kami tibatiba terlanggar sisi sebuah kapal pengangkut muatan curah yang didaftar di Great Britain," katanya.

Beliau berkata sebaik berlanggar, kapal tangki itu meletup sebelum terbakar dan beliau sendiri terpaksa terjun ke laut.

Kemalangan berlaku pada pukul 9 malam tadi.

BERITA TERDAHULU

SEREMBAN: Sebuah kapal tangki minyak terbakar selepas melanggar sebuah kapal pengangkut muatan curah (bulk carrier) di perairan Selat Melaka kirakira 30 kilometer (20 batu nautika) dari perairan Port Dickson, dekat sini, semalam.

Api yang marak dari kapal tangki itu dapat dilihat dengan jelas dari pantai Port Dickson menyebabkan pasukan penyelamat sukar untuk merapati kawasan kemalangan akibat kepanasan yang melampau.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Mazlan Othman berkata kapal terbabit terdiri dari kapal tangki minyak dari Liberia dan kapal 'bulk carrier' dari Britain yang masing-masing membawa 25 orang anak kapal.

"Seramai 25 krew dari kapal tangki itu berjaya diselamatkan dan sedang dalam perjalanan ke pantai sementara krew dari kapal Britain itu tidak mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita di jeti Port Dickson di sini.

Beliau berkata kapal 'bulk carier' itu dilaporkan hanya mengalami sedikit kerosakan dan telah meneruskan perjalanan ke Singapura.

Katanya, kapal tangki berbabit masih lagi terbakar dan menunggu botbot pemadam api dari Pelabuhan Klang untuk mengawal kebakaran.

Mazlan berkata pihak bomba menerima panggilan pada 9.15 malam dan dipercayai berlaku tumpahan minyak yang besar di kawasan itu.

Menurutnya, pihaknya telah memaklumkan kepada Jabatan Penerbangan Awam (ACA) agar berhatihati kerana asap yang tebal akan menjejaskan laluan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Suasana di jeti kini dipenuhi oleh para wartawan dan botbot dari jabatan laut, polis, Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan pasukan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berulangalik menjalankan kerja-kerja menyelamat.

Tiada ulasan: