Sabtu, 15 Ogos 2009

SRPM perlu buktikan ketelusan

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng Sang sependapat dengan Dewan Pemuda Pas Pusat yang mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat berhubung penggunaan jet peribadi milik syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat sebanyak lima kali dengan nilai AS$40,000 bagi perkhidmatan tersebut, sebagaimana dilaporkan sebuah laman web.

Menurut beliau, SPRM perlu mendedahkan perkara ini ke muka pengadilan secepat mungkin demi kepentingan awam malah ia juga perlu disiasat dengan telus adil, tanpa mengira fahaman politik dan agama.

“SPRM perlu menunaikan janjinya untuk berlaku adil dan telus. Sekiranya mereka benar-benar telus dan tidak berat sebelah, SPRM mesti siasat isu penggunaan jeti peribadi oleh Menteri Pengangkutan,” katanya,

Weng Sang turut mempertikaikan mengapa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menyiasat kes rasuah Barisan Nasional yang dilaporkan lebih awal daripada kes yang melibatkan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail.

Menurutnya, beliau berasa aneh dan kurang faham dengan tindakan SPRM kerana pada 17 Julai lalu beliau telah membuat laporan kepada SPRM mengenai bekas Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kampung Tunku yang menghabiskan peruntukan sebanyak RM500,000 dalam masa kurang daripada tiga bulan pada 2008.

Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku adalah yang sebaliknya di mana SPRM memilih untuk mengambil tindakan terhadap laporan Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) dan mengetepikan laporan beliau.

“Jika saya membuat laporan lebih awal daripada Gerak, sepatutnya SPRM perlu menjalankan siasatan ke atas aduan saya terlebih dahulu.

“Bukankah ini satu tindakan berat sebelah? Kalau SPRM selama ini mengatakan mereka akan bertindak adil terhadap semua, mengapa pula kali ini mereka memilih bulu dalam siasatan mereka?,” katanya.

Weng Sang berkata, dokumen yang diserahkan kepada SPRM oleh Gerak merupakan dokumen yang dihantar kepada mereka oleh seorang yang tidak diketahui, manakala maklumat yang diserahkan beliau kepada SPRM adalah dokumen rasmi yang diperoleh daripada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

“Saya mahu SPRM menjelaskan kepada saya tentang perkembangan terbaru tehadap kes yang dilaporkan oleh saya itu,” katanya.

Beliau berkata demikian berhubung laporan oleh Pengeusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunos kepada SPRM pada 30 Julai lalu terhadap Rodziah berhubung beberapa tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan peruntukan DUN Sementa yang diangkat oleh beliau sebanyak RM375,000.

Tiada ulasan: