Selasa, 11 Ogos 2009

SPR larang pondok panas, peraih undi

SINAR HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang keras mana-mana parti politik mendirikan sebarang pondok panas dan usaha meraih undi pada hari pengundian pilihan raya kecil Permatang Pasir nanti.

Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, semua parti politik dan penyokong parti diminta mematuhi Subseksyen 26 (1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan dengan larangan berkempen pada hari mengundi.

“Di bawah peraturan berkenaan, tiada lagi pondok panas dan peraih undi dibenarkan. Di Penanti dan Manek Urai, kita beri kelonggaran sedikit, tetapi nampaknya mereka melakukan lebih daripada yang dibenarkan,” katanya pada sidang media di Pejabat SPR di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, larangan mendirikan pondok panas dan peraih undi bertujuan untuk mengelakkan berlakunya pergaduhan sesama penyokong calon yang bertanding sekali gus menyebabkan kesesakan di pusat mengundi yang boleh mengganggu kelancaran proses pengundian.

“SPR akan meminta bantuan polis bagi menguatkuasakan dua larangan ini dan menekankan kepada semua parti politik dan penyokong parti agar mematuhi subseksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan dengan larangan berkempen pada hari mengundi,” katanya.

Beliau berkata, keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir akan diumumkan jam 8 malam sebaik penjumlahan rasmi undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi selesai tanpa menunggu kehadiran calon yang bertanding dan penyokongnya.

Beliau berkata, SPR memperuntukkan RM550,000 bagi perbelanjaan menjalankan pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kekosongan kerusi tersebut kerana kematian penyandangnya dari Pas, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman akibat sakit jantung, 31 Julai lalu.

Tiada ulasan: