Khamis, 13 Ogos 2009

SPR jumpa kementerian bincang H1N1

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan nasihat berhubung situasi semasa jangkitan Influenza A (H1N1) sebelum penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Isnin ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata keputusan sama ada untuk mengurangkan bilangan kehadiran penyokong parti politik pada hari penamaan calon akan diputuskan SPR selepas selesai mendapat panduan pihak kementerian.

Beliau berkata, SPR juga perlu mengetahui situasi semasa jangkitan H1N1 di Pulau Pinang dan langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

“Saya difahamkan pegawai SPR akan mengadakan pertemuan bersama kementerian hari ini (semalam). Perjumpaan ini amat penting untuk SPR. Selepas selesai mendapat nasihat kementerian, baru saja kami (SPR) boleh membuat keputusan seterusnya,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Abdul Aziz berkata demikian ketika ditanya sama ada SPR akan menetapkan peraturan baru bagi mengurangkan kehadiran bilangan penyokong pada hari penamaan calon memandangkan jumlah kematian akibat H1N1 kini mencecah 44 orang.

Selasa lalu, SPR menetapkan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.

Abdul Aziz, berkata sekiranya peraturan baru itu perlu dikuatkuasakan demi kepentingan orang ramai, SPR akan mengadakan pertemuan segera bersama kepimpinan tertinggi parti politik termasuk calon Bebas yang ingin bertanding.

Tiada ulasan: