Rabu, 26 Ogos 2009

SPR bincang isu Adun Kota Seputeh minggu depan

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif, yang diarah mengosongkan kerusinya selepas didakwa mengingkari Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

Arahan itu dikeluarkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, selepas mendapati Abu Hassan gagal hadir persidangan DUN sebanyak dua kali berturut-turut tanpa kebenarannya.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata kelewatan mesyuarat itu kerana pihaknya perlu meneliti perkara itu sebelum membuat keputusan kerana ia membabitkan peruntukan undang-undang.

"SPR bertanggungjawab kepada rakyat sebagai pengundi dan Perlembagaan, jadi kita perlu memastikan setiap keputusan dibuat adalah yang terbaik untuk rakyat.

"Atas dasar itu, kita perlu meneliti dan mengkaji segala maklumat termasuk surat yang diberikan Abdul Isa dan Adun Kota Seputeh dari sudut perundangan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan Abu Hassan selepas diarah mengosongkan kerusinya berikutan kegagalannya menghadiri persidangan DUN Kedah dua kali berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Abdul Isa dalam surat kepada SPR memaklumkan Adun Kota Seputeh dari Barisan Nasional (BN) itu gagal menghadiri sidang selama dua kali berturut-turut tanpa kebenarannya.

Mengikut Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana Adun tidak hadir persidangan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker DUN hendaklah mengosongkan kerusinya.

Bagaimanapun, Abu Hassan menjelaskan beliau sudah memberi penjelasan kepada Badan Perhubungan Umno Negeri dan Abdul Isa berhubung kegagalannya hadir kedua-dua sidang itu.

Mengulas lanjut, Datuk Wan Omar berkata, tempoh yang panjang diambil untuk mengkaji perkara itu kerana SPR mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang berlangsung semalam.

Tiada ulasan: