Sabtu, 15 Ogos 2009

Sindiket Ah Long terdesak rancang penculikan palsu

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sindiket Ah Long kini semakin terdesak sehingga berani merancang penculikan palsu bagi memperdaya keluarga 'mangsa' untuk membayar wang tebusan terhadap anak mereka meskipun penculikan itu tidak berlaku. Dalam kes terbaru Khamis lepas, seorang ahli perniagaan kerugian RM3,000 selepas terpedaya dengan tipu helah anggota sindiket tersebut yang mendakwa sudah menculik anaknya yang berusia 17 tahun dan akan membunuhnya secara kejam jika beliau enggan memenuhi tuntutannya.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Michael Chong berkata sindiket yang mengaku Ah Long itu menggunakan taktik mengugut ibu bapa menerusi panggilan telefon dan memaklumkan anak mereka diculik dan akan dibunuh jika gagal memberikan wang tebusan sehingga RM50,000 di sekitar ibu kota.

"Taktik sindiket itu menelefon menakutkan mangsa menggunakan suara orang menjerit dan menangis meminta tolong seakan-akan suara anak mereka, dipercayai menunjukkan bahawa sindiket berkenaan mengetahui latar belakang mangsa termasuk semua maklumat anggota keluarga yang hendak dijadikan sasaran," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Beliau berkata sejak April lepas pihaknya menerima lapan aduan dari ibu bapa yang pernah dihubungi menerusi telefon bimbit dan talian tetap oleh sindiket berkenaan termasuk di Brickfields dan Cheras.

Chong berkata sindiket berkenaan kini beralih kepada mangsa di kalangan pelajar sekolah menengah dan kolej selepas melakukan penipuan yang sama di peringkat sekolah rendah.

Katanya, pada Khamis lepas itu, pihak sekolah dan pengetua sekolah turut mengesahkan menerima sebanyak lima hingga enam kes yang sama berkaitan penipuan penculikan palsu di kalangan pelajar.

"Polis telah menahan seorang individu yang disyaki anggota sindiket itu di Cheras dan akan tangkap ramai lagi suspek dalam masa terdekat ini. Sindiket berkenaan dipercayai membabitkan warga asing dan wanita menganggotai sindiket itu," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada jika menerima panggilan yang pelik dan mencurigakan seperti cubaan mengancam dan membunuh.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi berkata seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 40an ditahan di Taman Cheras pada pukul 12 tengah hari kelmarin.

Tiada ulasan: