Sabtu, 1 Ogos 2009

Selangor selesai audit dalaman September

BERITA HARIAN OLINE


SHAH ALAM: Sama ada benar wujud penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri di kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor hanya akan diketahui awal September ini, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, Audit Dalaman Negeri sudah diarah mengaudit perbelanjaan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menggunakan wang peruntukan kerajaan negeri.

"Saya hanya akan dapat maklumat sama ada benar atau tidak berlaku penyelewengan seperti didakwa dalam tempoh sebulan ini atau awal September," katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Abdul Khalid diminta mengulas tindakan Gerakan Rakyat Antikorupsi Malaysia (Gerak) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang Adun Pakatan Rakyat (PR) berhubung dakwaan rasuah, kelmarin.

Dakwaan itu membabitkan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri di kawasan yang diwakili Adun berkenaan berjumlah RM375,000.

Presiden Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus, berkata wakil rakyat itu bukan daripada DAP tetapi tidak menyatakan sama ada individu itu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas atau Exco Selangor.

Abdul Khalid berkata, peruntukan kepada semua Adun disalurkan menerusi pejabat daerah dan setiap tuntutan yang dikemukakan Adun bagi membiayai aktiviti untuk penduduk di kawasan yang diwakili diluluskan mengikut tatacara kewangan negeri.

"Setiap suku tahun pertama kita membuat pemantauan untuk mengetahui jumlah peruntukan yang dibelanjakan setiap Adun," katanya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri tidak mahu kesilapan yang dibuat Barisan Nasional (BN) apabila membelanjakan semua peruntukan untuk setahun dalam tempoh dua bulan saja pada awal 2008 berulang.

Berikutan itu, katanya, PR terpaksa menggunakan peruntukan tambahan untuk disalurkan kepada Adun selepas memenangi Pilihan Raya Umum pada Mac 2008.

Tiada ulasan: