Isnin, 17 Ogos 2009

Saya akan beri keterangan hari ini - Ridhuan Tee

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - "Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah datang ke pejabat saya Jumaat lepas untuk mengambil keterangan dan saya dipanggil pihak polis untuk memberikan keterangan yang sama esok kerana tuduhan ini bersifat peribadi dan tidak berhujah secara akademik."

Itu antara komen Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang juga penceramah bebas ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas isu laporan media Cina yang menyalahtafsirkan penulisan beliau dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang mengemukakan pandangan mengenai isu anak luar nikah secara umum dan secara kebetulan berlaku kepada mendiang Teoh Beng Hock, bekas Setiausaha Politik Exco Selangor telah dikecam hebat oleh beberapa akhbar dan laman web Cina.

Ridhuan bukan sahaja dituduh sebagai pengkhianat kaum Cina tetapi bersalah kepada datuk nenek moyang dan seluruh keturunan sehingga dikatakan berantakan tulang-tulang keturunan beliau di dalam kubur kerana melahirkan manusia sepertinya.

Beliau yang juga menulis mengenai segelintir sifat ultra kiasu bangsanya berdasarkan fakta kajian telah diterjemahkan secara tidak tepat oleh akhbar China Press yang menggambarkan seolah-olah beliau menuding jari kepada semua kaum Cina di negara ini.

"Ini merupakan sesuatu yang saya tidak boleh terima kerana mereka tidak mengambil keseluruhan ayat yang saya tulis sekali gus memperlihatkan saya sebagai anti-Cina dan tidak bersimpati dengan keluarga mendiang.

"Mereka bukan sahaja menghentam saya melalui laman-laman blog Cina tetapi mereka menanam api kebencian bangsa saya terhadap saya sendiri," katanya.

Tegas beliau, segala yang diluahkan melalui penulisannya merupakan kajian yang dilakukan beliau untuk peringkat doktor falsafah (PhD) dengan meneliti kepada perkembangan semasa.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim, Ann Wan Seng berpendapat isu tersebut lebih bersifat peribadi.

"Ridhuan Tee berhak memberikan pandangan beliau tetapi saya yakin beliau tidak mempunyai niat untuk menyinggung perasaan apatah lagi memburuk-burukkan kaum Cina.

"Ini semua berlaku disebabkan salah faham dan kesalahan dalam mentafsir apa yang cuba disampaikan oleh beliau," katanya.

Tambahnya, perbuatan tuduh-menuduh dan menyemarakkan api perkauman tidak seharusnya diperbesarkan, sebaliknya harus diselesaikan melalui perbincangan.

Tiada ulasan: