Khamis, 13 Ogos 2009

Sasterawan Dharmala NS meninggal dunia akibat serangan jantung

UTUSAN ONLIE


KUALA LUMPUR - Sasterawan dan budayawan tanah air, Abdul Muluk Daud atau lebih dikenali sebagai Dharmala NS, 62, meninggal dunia di Hospital Selayang hari ini akibat serangan sakit jantung.

Menurut isterinya, Adiah Mat Lana, 54, suaminya meninggal dunia pada pukul 8.41 pagi selepas dimasukkan ke Hospital Selayang pada Selasa lalu setelah mengadu sakit dada.

''Arwah baru sahaja selesai bersahur kerana berniat untuk berpuasa sunat,'' jelasnya.

Anak lelaki Allahyarham, Idham Khalil, 27, pula berkata, dia tidak menyangka yang bapanya ketika itu diserang sakit jantung.

''Setelah mendapati sakit dadanya itu tidak hilang, kami mengambil keputusan untuk menghantar arwah ke Hospital Selayang.

''Di Hospital Selayang beliau terus dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU) sehingga menghembuskan nafas terakhir pagi ini,'' katanya.

Tambah Idham lagi, malam sebelum mengadu sakit dada itu, ayahnya tidak boleh tidur malah sempat mengemaskini blog peribadinya.

''Malam itu arwah kelihatan bertenaga malah sempat mengemas kini blognya sehingga pukul 4 pagi sebelum bersahur bersama ahli keluarga,'' tambahnya ketika ditemui di Masjid Sri Gombak di sini hari ini.

Selepas dimandikan di Masjid Sri Gombak, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bachang Mantin, Petaling di Jelebu, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

Turut menziarahi jenazah di Masjid Sri Gombak ialah wakil kepada Undang Luak Rembau, Kamaruzzaman Salleh; Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Baharuddin Zainal (Baha Zain) serta Ahli Jawatankuasa Pena, Dr. Ibrahim Ghaffar.

Semasa hayatnya, Allahyarham aktif dalam penulisan novel, cerpen, sajak serta penulisan skrip drama televisyen dan filem.

Tiada ulasan: