Selasa, 4 Ogos 2009

Rosmah terima Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan UiTM

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Datin Seri Rosmah Mansor, semalam dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan (Pendidikan Kanak-Kanak) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengiktiraf usaha dan tumpuan isteri Perdana Menteri itu dalam memperjuangkan hak kanak-kanak mendapat pendidikan terbaik dan berkualiti.

Rosmah menjadi penerima ke-22 Ijazah Kehormat daripada UiTM.

Majlis penganugerahan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong selaku Canselor UiTM, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Istiadat Konvokesyen Komemoratif di Dewan Seri Budiman, di sini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohd Noah; isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Nohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah.

Rosmah dalam ucapan balasnya selepas menerima anugerah itu berkata, kanak-kanak di bawah umur lima tahun wajar diberi perhatian kerana ia tempoh kritikal dan formatif.

Katanya, laporan Bank Dunia 2006 menyatakan program mempromosi perkembangan kanak-kanak bawah enam tahun menjadi pelaburan terbaik dalam pembikinan modal insan untuk pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Beliau berkata, kanak-kanak aset masa depan dan bernilai kepada negara selain membawa sinar dan harapan baru dari sudut pendidikan, pentadbiran, ekonomi, agama, sosial dan budaya.

“Golongan ini perlu dan harus diberi perhatian sewajarnya terutama peluang mendapat pendidikan bertaraf dunia,” katanya.

Rosmah berkata, statistik 2007 menunjukkan kanak-kanak bawah empat tahun di negara ini ialah 3.1 juta, tetapi hanya 80,000 yang menghadiri Taska di luar bandar.

Rosmah berkata, sejak projek Permata Negara dimulakan empat tahun lalu dengan geran permulaan RM20 juta, kanak-kanak terbabit menunjukkan perkembangan positif dari segi emosi, kematangan, keyakinan diri serta berkomunikasi.

Katanya, sebahagian besar kanak-kanak itu menunjukkan prestasi lebih baik daripada kanak-kanak yang lebih tua setahun dari segi perkembangan pramatematik, prasains dan pemikiran logik.

Tiada ulasan: