Ahad, 16 Ogos 2009

Pulau Pinang dapat pelaburan RM1.1 bilion

BERITA HARIAN ONLINE


GEORGETOWN: Pulau Pinang mencatatkan pelaburan RM1.1 bilion bagi tiga bulan pertama tahun ini terutama dalam sektor perkilangan, keluaran gas serta elektrikal dan elektronik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata antara pelabur utama dalam bidang berkenaan ialah China, Taiwan dan Denmark.

Katanya, jumlah pelaburan itu agak memberangsangkan dan menunjukkan Pulau Pinang masih menjadi pilihan utama walaupun ketika negara menghadapi krisis ekonomi global.

“Kerajaan Pusat memberi jaminan Pulau Pinang tidak akan tertinggal dari segi pembangunan seiring dengan perkembangan semasa negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Persekutuan Pulau Pinang (MTEPPP) di sini, semalam.

Nor Mohamed berkata, pihaknya juga komited untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat ekonomi utama di negara ini dan memastikan pelaburan tahun lalu dilaksana mengikut jadual.

Sehubungan itu, beliau berkata, MTEPPP akan memainkan peranan sebagai pemantau dan menyelaras projek Kerajaan Pusat yang dilaksanakan di Pulau Pinang.

Selain itu, kerajaan akan memastikan program pemulihan dan penstrukturan ekonomi dilaksanakan dengan berkesan di setiap negeri mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

"Bagaimanapun, semua projek perlu memenuhi keperluan rakyat bagi memastikan mereka turut mendapat manfaatnya, sekali gus menghapuskan miskin tegar di negara ini," katanya.

Mengikut laporan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan sebanyak RM10.16 bilion tahun lalu.

Jumlah keseluruhan mencatatkan sebanyak RM5.1 bilion diperoleh daripada pelabur asing dari Jepun (RM1.5 bilion), Jerman (RM1.1 bilion), Belanda (RM864 juta) dan Amerika Syarikat (RM711 juta).

Tiada ulasan: