Khamis, 20 Ogos 2009

Polis terima 10 laporan berkaitan pilihan raya

BERNAMA


BUKIT MERTAJAM: Polis menerima 10 laporan berkaitan pilihan raya sejak hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir kelmarin.

Pegawai Perhubungan Media Polis bagi pilihan raya itu, DSP Azizan Md Isa, berkata daripada semua kes berkenaan, dua laporan polis yang diterima itu berkaitan dengan hasutan menurut Seksyen 500 dan 4(1)(b) Akta Hasutan.

"Sehingga hari ini tiada kejadian tidak diingini berlaku dan polis sentiasa memantau bagi memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman orang ramai terjamin," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Azizan berkata pihaknya menjangkakan kesesakan pada hari pengundian 25 Ogos ini berikutan musim cuti sekolah.

"Polis telah bersiap sedia untuk mengawal keadaan pada hari berkenaan dan kita mengingat mana-mana individu atau kumpulan supaya tidak mengambil alih tugas polis dengan menutup atau mengawal lalu lintas.

"Anggota polis juga akan ditempatkan di sekitar Permatang Pasir terutamanya di jalan masuk dan keluar di pusat-pusat mengundi serta pusat penjumlahan undi, kita minta semua pihak mematuhi arahan," katanya.

Beliau berkata mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan berkenaan boleh disiasat menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: