Selasa, 11 Ogos 2009

Polis serbu dua premis judi

SINAR HARIAN ONLINE


BAGAN SUNGAI BURUNG – Dua premis perjudian berselindung dengan menjalankan operasinya di dalam rumah kayu diserbu 14 anggota dan dua pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Jabatan Siasatan Jenayah.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, polis menyerbu dua premis di Jalan Bagan Sungai Burung yang dipercayai dijadikan tempat perjudian berdasarkan maklumat orang ramai yang diperoleh dalam masa seminggu.

Katanya, serbuan pertama dibuat di premis bernombor 4952 pada jam 7 malam, 5 Ogos lalu dan berjaya merampas 51 set mesin komputer judi dan menahan dua lelaki iaitu pemilik serta penjaga premis tersebut, malah ketika serbuan seramai 17 pelanggan leka bermain judi.

“Manakala serbuan kedua dibuat pada jam 7.40 malam di premis lot 91 dan polis berjaya merampas 24 set mesin komputer judi dan menahan dua lelaki yang bertindak sebagai penjaga premis berkenaan serta enam pelanggan yang sedang bermain judi,” katanya.

Menurutnya, pihak polis terpaksa memecahkan pintu berkenaan kerana tidak mendapat kerjasama daripada pemilik dan penjaga premis berkenaan.

“Semua mereka ditahan di bawah sesyen 4B(a) atas rumah judi terbuka 1953. Bagi pemilik dan pengendali akan dituduh kerana mengurus dan mengendalikan premis judi manakala selebihnya dituduh berada dan bermain di premis tersebut.

“Pemilik dan pengendali ditahan reman bagi membantu pihak polis mendapatkan maklumat lanjut manakala selebihnya ditahan dan dibebaskan semula dengan jaminan polis,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki premis perjudian jika tidak tindakan akan diambil, sebaliknya bekerjasama memaklumkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkenaan premis perjudian.

“Pihak polis akan perangi habis-habisan terhadap perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan siapa sahaja yang terlibat.

“Dalam serbuan itu, antara yang ditahan mereka yang berusia 70, 60, 63 tahun dan paling muda 18 tahun serta mereka yang berumur sekitar 30-an,” katanya.

Tiada ulasan: