Rabu, 26 Ogos 2009

Polis kesan taktik baru penjenayah curi kad ATM

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Polis mengesan taktik baru yang digunakan penjenayah warga asing untuk mencuri kad ATM mangsa di mesin ATM di sekitar daerah Brickfields.

Kumpulan rakyat asing itu terdiri daripada dua atau tiga lelaki dan seorang wanita, kesemuanya berusia dalam lingkungan 30an. Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kumpulan itu akan berdiri di belakang atau mengelilingi sambil memerhatikan mangsa mengeluarkan wang di mesin ATM.

"Setelah mangsa mengeluarkan wang dan ingin mengambil kad ATM, suspek terus menepuk bahu mangsa dan apabila mangsa menoleh, suspek akan beritahu wang mangsa jatuh di lantai. Pada masa yang sama suspek yang lain akan mengambil kad ATM mangsa atau menukarkan kad," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata apabila mangsa menoleh untuk melihat wang di lantai, suspek sudah melarikan diri dan apabila menoleh semula ke mesin ATM mangsa akan mendapati kad ATMnya telah hilang atau ditukar dengan kad ATM lain.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya berhatihati semasa mengeluarkan wang di mesin ATM terutama pada musim perayaan.

Sehingga kini, terdapat empat kes yang dilapor berlaku di daerah itu.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berumur 20 tahun yang disyaki menipu dan memperdayakan beberapa remaja perempuan dengan menyamar anak seorang yang bergelar Tan Sri atau Datuk.

"Setelah berkenalan melalui internet dan beberapa kali berjumpa, mangsa akan mula mempercayai suspek. Ketika inilah suspek mengambil kesempatan membawa mangsa keluar dan apabila mangsa hendak ke tandas, suspek akan menyuruh mangsa meninggalkan beg dan barangan berharga milik mangsa di dalam kereta suspek.

"Pada masa itulah suspek akan melarikan diri dengan barangbarang itu," katanya.

Beliau berkata polis merampas komputer riba, dokumen, kunci kereta, pelbagai sim kad dan pelbagai barangan peribadi lain yang dipercayai milik remaja yang diperdaya lelaki itu.

Siasatan polis juga mendapati kenderaan yang digunakan lelaki itu adalah kereta curi yang dilapor hilang di Kota Damansara, katanya.

Tiada ulasan: