Ahad, 16 Ogos 2009

PKR lancar ‘perang’ ke atas BN

SINAR HARIAN ONLINE


KLANG - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan melancarkan ‘perang’ terhadap beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang dianggap sedang cuba memecahbelahkan kesepakatan dalam pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini.

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mendakwa, beberapa isu yang berlaku di negeri ini sekarang sebenarnya berpunca dari tindakan BN yang cuba mensensasikan isu berkenaan bagi memburukkan kerajaan PR.

“Mereka kini sedang mencari kepincangan pemimpin PR dalam usaha mereka merampas kembali kuasa pemerintahan di negeri ini. Tindakan mereka itu seperti amat terdesak untuk mengambil alih Selangor dari PR.

“Pelbagai isu cuba diungkit dan dipaparkan kepada masyarakat di negeri ini seolah-olah pemimpin PR mengkhianati kepercayaan yang diberikan pada pilihan raya lalu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tinggi PKR mendakwa, pihaknya berasa kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang seperti berat sebelah dalam menyiasat beberapa isu membabitkan pemimpin PR di Selangor.

“Bila keluar isu berhubung pemimpin kita (PR) SPRM cepat menjalankan siasatan dan perkara ini dihebahkan dengan meluas sedangkan berpuluh-puluh laporan yang kita buat pada SPRM berhubung beberapa perkara seperti tidak diendahkan.

“Pihak yang sepatutnya disiasat tetapi tidak disiasat sedangkan kami yang membuat laporan mengenai kes penyalahgunaan kuasa pemimpin BN terdahulu dalam beberapa isu pula yang disiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ceramah Bersekutu Bertambah Mutu anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kapar di Dewan Ahmad Razali, Batu 4 Jalan Kapar di sini.

Hadir sama, bekas Naib Presiden MIC, Datuk S S Subramaniam, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Selayang merangkap Bendahari PKR Pusat, William Leong.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abdul Rani Osman turut menyampaikan ceramah masing-masing pada program yang dihadiri lebih 3,000 penduduk dari sekitar kawasan Kapar dan daerah Klang itu.

Pada program itu juga, turut diadakan majlis penyampaian bantuan kepada 40 pelajar Tahun Enam dari beberapa sekolah rendah sekitar Kapar yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

Manikavasagam berkata, ianya adalah sumbangan ikhlas dari pemimpin PR kepada golongan yang kurang berkemampuan agar mereka semua mempunyai buku serta peralatan alat tulis yang cukup sebagai persiapan menghadapi peperiksaan penting itu.

“Orang ramai yang berhadapan masalah atau kesulitan boleh datang ke pusat khidmat rakyat setiap wakil rakyat dan ahli parlimen PR untuk merujukkan masalah mereka dan kita akan cuba bantu mereka dengan sedaya upaya. Ini kerana kita memang komited membantu rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: