Ahad, 2 Ogos 2009

Permatang Pasir: Umno senarai pendek 5 calon

BERNAMA


BALING: Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang menyenarai pendek lima daripada 20 nama yang dikemukakan untuk dipilih bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, tidak lama lagi.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, beliau akan menyelidiki mereka terlebih dahulu sebelum nama calon yang sesuai dikemukakan kepada pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Ciri terpenting calon itu mesti diterima pengundi pelbagai kaum dan kepimpinan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Baling di sini, hari ini.

Terdapat kira-kira 25 peratus pengundi bukan Melayu di kawasan Permatang Pasir.

Kerusi DUN Permatang Pasir dalam Parlimen Permatang Pauh kosong berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, akibat serangan jantung pada pagi Jumaat lepas.

"Kita tahu PAS mempunyai dua tokoh untuk dipilih yang akan diumumkan parti itu minggu depan tetapi BN pasti mencalonkan tokoh yang mampu menyaingi lawan.

"Saya menghormati Umno Permatang Pauh, Perhubungan Umno Negeri, BN Negeri, presiden serta timbalan presiden. Sebab itu pemilihan calon perlu melalui tapisan dan mendapat restu semua pihak," kata Ahmad Zahid.

Katanya, Permatang Pasir bukan kubu kuat PAS dan BN mempunyai harapan untuk menang.

"Selaku Pengerusi Umno Pulau Pinang, saya tidak menjanjikan pembangunan tetapi jika BN menang calon kita akan sedaya upaya memenuhi kehendak pengundi Permatang Pasir."

Tiada ulasan: