Rabu, 12 Ogos 2009

Permatang Pasir: Umno bahagian tidak kemukakan senarai nama calon

BERNAMA


BUTTERWORTH: Umno Bahagian Permatang Pauh tidak mengemukakan nama bakal calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Permatang Pasir 25 Ogos ini sebaliknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata Umno pusat telah membuat penyelidikan dan menyenaraikan empat nama calon berdasarkan maklumat dan pandangan daripada Umno bahagian.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Umno bahagian itu di sini malam tadi, beliau berkata caloncalon yang disenaraikan itu adalah anak tempatan Permatang Pauh dan berumur antara 40 dan 60 tahun.

"Calonnya adalah dari golongan profesional, mampu berkhidmat, diterima masyarakat, mempunyai ramai saudara di kawasan itu dan anak tempatan Permatang Pauh," katanya sambil menjelaskan bahawa semua calon yang disenaraikan adalah muka baru.

Abdul Jalil berkata nama calon akan diumumkan pada 4 petang Jumaat ini di Permatang Pasir serentak dengan pelancaran jentera pilihan raya Barisan Nasional. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada Pas pada 31 Julai lepas. Penamaan calon ialah pada 17 Ogos ini.

Pada pilihan raya umum lepas, Mohd Hamdan memperoleh 11,004 undi menewaskan calon BN, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

Mengenai persediaan menghadapi pilihan raya itu, Abdul Jalil berkata 23 jentera ditubuhkan di peringkat bahagian dengan setiap sembilan peti undi di kawasan itu diketuai oleh seorang ketua peti undi.

"Kali ini kita guna pendekatan berbeza di mana kita akan tunaikan janji kita mengikut peti undi. Jika di satu kawasan peti undi itu mahukan jalan, jika peti undi itu BN menang, kita akan bagi jalan kepada mereka.

"Walaupun calon kita kalah, jika di manamana peti undi kita menang, kita akan tunaikan janji kita kepada peti undi yang menang selepas pilihan raya itu," katanya.

Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan pula berkata penyokong PAS di Permatang Pasir seharusnya sedar bahawa parti itu tidak diberi pengiktirafan sewajarnya oleh kerajaan DAP-PKR Pulau Pinang.

"Pada tahun 1999 MIC pernah menang satu kerusi sahaja tetapi tetap diberi jawatan exco dalam kerajaan negeri (pimpinan BN) dan ini menunjukkan semangat setiakawan dan keikhlasan antara parti komponen BN," katanya kepada pemberita selepas mengadakan menyuarat mengenai persediaan pilihan raya kecil itu di sini malam tadi.

Katanya tidak seperti kerajaan Pulau Pinang sekarang yang mengetepikan Pas daripada terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri walaupun calon parti itu, Mohd Hamdan menang dan merupakan satu-satunya wakil PAS dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Ahmad juga berkata walaupun PAS menang dengan majoriti besar pada pilihan raya umum lepas, itu tidak bermakna penduduk kawasan itu tidak akan berubah fikiran pada pilihan raya kecil ini.

"Pada tahun 1995 kerusi Permatang Pasir dimenangi oleh BN.

Pada tahun 1999, 2004 dan 2008 pula BN kalah kepada calon Pas. Ini bermakna fikiran rakyat sentiasa berubah," katanya.

Tiada ulasan: