Isnin, 3 Ogos 2009

Permatang Pasir: Datuk Jalil tolak jadi calon

Abdul Rahim Sabri


Ketua Umno bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid secara terbuka mengumumkan akan menolak jika dicalonkan bertanding mewakili BN dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir.

Beliau membuat pengumuman itu sewaktu berucap di hadapan lebih 200 perwakilan Pemuda bahagian tersebut yang menghadiri persidangan Pemuda bahagian itu, semalam.

Perkara itu disahkan oleh Exco Pemuda Umno Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin yang merasmikan persidangan tersebut.

Menurutnya, dalam ucapan tersebut, Abdul Jalil berkata beliau tidak mahu menjadi calon kerana mahu memastikan ahli Umno di bahagian itu bersatu dalam menghadapi pilihanraya kecil tersebut.

"Jika dicalonkan, Datuk Abdul Jalil berkata beliau akan menolaknya," kata Nazir ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut Nazir, selepas beliau menyampaikan ucapan perasmian, Abdul Jalil berbisik kepadanya bahawa beliau mahu membukti tanggapan bahawa Umno di bahagian itu bermasalah, sudah selesai.

"Orang sebut bahawa Permatang Pauh ada masalah, calon yang dipilih kena sabotaj, kali ini dia nakkan semua itu ada noktah. Beliau mahu ahli Umno Permatang Pauh bersatu," katanya.

Kata-kata Abdul Jalil itu, kata Nazir, turut didengar oleh timbalan ketua bahagian dan naib ketua bahagian berkenaan.

ADUN Permatang Pasir dari PAS, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

ADUN PAS itu meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 6.30 pagi.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu mengadakan pilihanraya kecil bagi DUN Permatang Pasir dalam tempoh 60 hari.

Permatang Pasir - salah satu kerusi dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - adalah kerusi DUN tunggal PAS di Pulau Pinang.

Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

Tiada ulasan: