Khamis, 13 Ogos 2009

Penyiasat tak buat catatan

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Norhashimah Mohd Radzali


SHAH ALAM: Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock semalam diberitahu, tiada sebarang catatan dibuat oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ketika menyoal siasat Teoh.

Inspektor Mohd Zulaimi Zubir, 29, dari cawangan jenayah Ibu Pejabat Polis Dae-rah Shah Alam, berkata perkara itu disedari selepas melakukan pemeriksaan ke atas 10 muka surat buku catatan harian rasmi milik pegawai SPRM Mohd Anuar Ismail yang dirampas 18 Julai lalu.

“Hasil pemeriksaan saya dapati dalam buku bertarikh 8 Julai 2009 tercatat '’rumah/putrajaya/pejabat/tol RM'’ saja. Pada 15 dan 16 Julai tiada sebarang catatan dibuat, ” katanya.

Mohd Zulaimi berkata, beliau hanya merampas buku harian milik Mohd Anuar, manakala buku lain dirampas oleh pegawai polis lain.

Peguam yang mewakili Kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan mengesahkan Mohd Anuar bertanggungjawab menyoal siasat Teoh.

Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, di sini selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Menjawab soalan Tan, Mohd Zulaimi memberitahu mahkamah beberapa pegawai SPRM mengecam lelaki yang ditemui mati di koridor tingkat 5, Plaza Masalam pada 16 Julai lalu, sebagai saksi siasatan mereka.

Katanya, beliau yang tiba di tempat kejadian kira-kira 2.20 petang hari berkenaan, melihat beberapa pegawai dipercayai dari SPRM, turun ke tingkat tempat kejadian.

Bagaimanapun, saksi ke-11 itu berkata, beliau tidak mengetahui nama pegawai berkenaan kerana tidak mengambil butiran mereka.

Ketika menjawab soalan daripada peguam pemerhati bagi keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, Mohd Zulaimi, berkata beliau tidak pasti berapa ramai bilangan pegawai SPRM yang datang ke tingkat 5, tetapi mereka antara empat dan lima orang.

Sementara itu, Mohd Zulaimi berkata, beliau diarahkan pegawai atasannya untuk merampas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan Plaza Masalam bertarikh 15 dan 16 Julai lalu, untuk dihantar ke Jabatan Forensik Bukit Aman bagi tujuan analisis.

Katanya, daripada hasil rakaman itu beliau mendapati Teoh dibawa masuk ke pejabat SPRM di tingkat 14 dengan melalui lobi aras 4 bangunan itu pada jam 6.08 petang, 15 Julai lalu, dan tidak pernah keluar dari situ sehingga beliau ditemui mati.

Prosiding inkues di depan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung hari ini.

Tiada ulasan: