Khamis, 13 Ogos 2009

Penutupan sekolah akibat H1N1 sebagai langkah terakhir - Liow

BERNAMA


PUTRAJAYA: Tindakan penutupan sekolah dan institusi pendidikan seperti universiti akibat penularan wabak Influenza A (H1N1) hanya akan diambil sebagai langkah terakhir, demikian menurut garis panduan baru bagi penutupan sekolah akibat H1N1 yang dirumuskan kerajaan hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata garis panduan baru itu dirumuskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal (bagi H1N1) di sini hari ini seiring dengan fasa mitigasi bagi pandemik itu.

"Tindakan penutupan sekolah atau universiti hanya akan dilakukan oleh pihak pentadbiran sekiranya kehadiran pelajar atau pengajar sangat rendah dan pembelajaran tidak dapat dibuat dengan baik.

"Pengetua sekolah bertanggungjawab untuk mencadangkan penutupan sekolah setelah mendapat nasihat daripada Pegawai Kesihatan Daerah dan dipersetujui oleh Pengarah Pendidikan Negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Namun begitu, Liow berkata sekolah swasta boleh membuat keputusan sendiri bagi penutupan sekolah sekiranya terdapat jangkitan wabak H1N1. Beliau berkata langkah pencegahan penularan wabak itu di sekolah juga akan diambil termasuk pemantauan suhu badan pelajar setiap hari sebelum kelas bermula melalui termometer yang dibekalkan kepada sekolah dan pelajar perlu dirujuk segera ke klinik sekiranya terdapat simptom H1N1.

"Ibu bapa dan penjaga juga hendaklah memastikan anak mereka yang mempunyai gejala serupa influenza supaya tidak hadir ke sekolah dan mendapatkan rawatan," katanya.

Mengenai kenaikan harga topeng muka dan produk penyah kuman, Liow mengingatkan pengeluar, pembekal dan penjual barangan itu supaya tidak berbuat demikian kerana tindakan tegas akan diambil.

"Ini membabitkan soal keselamatan negara, semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan keselamatan semua orang. Menaikkan harga barangan ini amat tidak wajar dan kita serahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mengambil tindakan," katanya.

Liow turut memaklumkan orang awam bahawa mereka kini boleh mendapatkan rawatan di hospital dan klinik swasta bagi H1N1 kerana pihak kementerian telah membekalkan ubat antiviral H1N1 kepada pihak berkenaan. "Semua klinik dan hospital swasta boleh merawat jangkitan influenza dan diminta untuk tidak menolak pesakit yang hendak mendapatkan rawatan di klinik atau hospital mereka. Pihak klinik dan hospital swasta boleh mendapatkan bekalan antiviral dari pihak pembekal secara terus.

"Untuk makluman, rawatan keskes ini tidak terhad kepada hospital tertentu sahaja asalkan mempunyai kemudahan bilik isolasi, juga boleh beri rawatan," katanya.

Bagaimanapun katanya, vaksin dan antiviral adalah berbeza dan menyatakan bahawa antiviral seperti Oseltamivir (Tamiflu) dan Zanamivir (Relenza) adalah ubat untuk merawat jangkitan H1N1 dan vaksin H1N1 masih belum ada di Malaysia atau di dunia.

Sementara itu, Liow turut menasihatkan penyokong parti-parti yang bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pasir di Pulau Pinang 25 Ogos ini supaya mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan khususnya semasa berkempen bagi mengelak dijangkiti H1N1.

Tiada ulasan: