Khamis, 20 Ogos 2009

Penutup hidung dan mulut barang kawalan

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Kerajaan memutuskan penutup hidung dan mulut bagi mencegah wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) dijadikan barangan kawalan berkuat kuasa serta merta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, serentak itu, kerajaan telah menetapkan harga siling bagi setiap jenis penutup hidung dan mulut yang dijual di pasaran tempatan.

Menurutnya, tindakan itu berikutan banyak aduan orang ramai sebelum ini yang menyatakan bahawa ada peniaga mengambil kesempatan dengan menjual barangan itu pada harga melampau.

''Kabinet bersetuju dengan kadar harga yang ditetapkan itu dan ia akan berkuat kuasa sehingga Kementerian Kesihatan mengisytiharkan Malaysia bebas daripada wabak H1N1.

''Kerajaan tidak mahu di waktu rakyat dalam kesusahan menghadapi wabak H1N1, ramai peniaga mengambil kesempatan dan kita tidak boleh menerima apa jua alasan mereka kerana yang penting adalah kebajikan rakyat,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penutup hidung dan mulut tersebut diwartakan sebagai barang kawalan sehingga wabak H1N1 berakhir.

Permintaan itu dibuat kerana sejak kebelakangan ini harga bahan berkenaan melambung tinggi di pasaran dan alasan peniaga ialah penutup tersebut sukar diperoleh daripada pembekal.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai peniaga yang menjual barangan itu melebihi harga siling yang ditetapkan agar membuat aduan melalui talian bebas tol 1 800 886 800.

Beliau berkata, mana-mana peniaga yang didapati menjualnya melebihi harga siling itu akan didakwa mengikut Akta Kawalan Harga 1946.

''Bagi individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM15,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi syarikat pula akan dikenakan denda tidak lebih RM25,000,'' katanya.

Ismail Sabri berkata, penetapan harga siling itu adalah adil bukan hanya kepada orang ramai tetapi juga para peniaga kerana mereka masih boleh mengaut keuntungan.

''Bagi saya adil kepada kumpulan yang majoriti dan kumpulan itu adalah rakyat yang ketika ini amat memerlukan penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan mereka dijangkiti oleh wabak H1N1 yang kini telah meragut nyawa seramai 67 orang sehingga semalam,'' katanya.

Tiada ulasan: