Rabu, 26 Ogos 2009

Pendakwa dakwa Penjara Kajang halang hukuman sebat

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Rahim Jaafar hari ini mendedahkan, hukuman sebat gagal dilaksanakan ke atas seorang model, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, semalam ekoran halangan yang dikenakan oleh Penjara Kajang, Selangor.

Abdul Rahim yang kecewa dengan keputusan penangguhan itu mendakwa, pengurusan Penjara Kajang tidak membenarkan penjara tersebut dijadikan tempat untuk melaksanakan hukuman mungkin kerana menerima tekanan daripada pihak tertentu.

Tegasnya, penangguhan tersebut tidak ada kaitan sama sekali dengan faktor menghormati bulan Ramadan kerana Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan sebelum ini memang memutuskan hukuman sebat berkenaan dilaksanakan dalam bulan puasa.

''Kita percaya pengurusan penjara tersebut mungkin memohon mendapatkan arahan daripada Pejabat Peguam Negara supaya hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi ditangguhkan.

''Inilah masalahnya apabila berlaku pertembungan antara undang-undang sivil dan syariah. Penjara adalah milik sivil dan hukuman dijatuhkan berdasarkan undang-undang syariah.

''Kita (syariah) terpaksa menumpang sivil untuk melaksanakan undang-undang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kes Kartika Sari Dewi yang sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang, Selangor dari Ipoh semalam bagi menjalankan hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saat-saat akhir dengan alasan perintah tahanan terhadapnya 'tidak dapat dilaksanakan sekarang.'

Penolong Pengarah JAIP, Sharifuddin Zainal Ariffin dilaporkan sebagai berkata, hukuman tersebut 'tidak dapat dilaksanakan sekarang' manakala Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Mohd. Sahfri Abdul Aziz memberi alasan kerana menghormati bulan Ramadan.

Berikutan penangguhan itu, Kartika Sari Dewi membuat laporan di Balai Polis Kuala Kangsar untuk mengesahkan bahawa dia tidak lari daripada hukuman sebat yang dikenakan ke atasnya.

Kartika Sari Dewi dijatuhi hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah minum arak di sebuah pusat hiburan di Cherating dua tahun lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim memberitahu, berikutan keengganan Penjara Kajang itu, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada hukuman sebat tersebut dapat dijalankan selepas Hari Raya Aidilfitri ini atau sebaliknya.

''Kita tunggu dan lihat kerana saya sendiri tidak dapat memastikan apa yang akan berlaku selepas hari raya nanti," ujarnya.

Ditanya mengapa hukuman itu tidak dilaksanakan di Kuantan, jelasnya, insiden yang sama juga mungkin berlaku apabila terpaksa 'menumpang' Penjara Penor di sini.

Dalam pada itu, katanya, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan sebelum ini memang menyedari dan bersetuju bahawa hukuman sebat itu dilaksanakan pada bulan Ramadan.

Tiada ulasan: