Sabtu, 22 Ogos 2009

Pemuda Pas kesal dengan keputusan Majlis Fatwa

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hasan Tantawi mendakwa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu sokong Umno tidak masuk syurga dibuat atas kepentingan pihak tertentu.

Beliau berkata, pelbagai tafsiran serta kenyataan Majlis Fatwa, ahli agama dan tokoh akademik dibuat hanya berdasarkan andaian dan laporan media tanpa merujuk kepada maksud sebenar penuturnya, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Keputusan tersebut menunjukkan Majlis Fatwa sanggup dipergunakan kerana tidak mendapatkan penjelasan tok guru (Nik Abdul Aziz) terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat," dakwanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Nasruddin berkata demikian bagi merujuk kepada keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan semalam yang memutuskan kenyataan Nik Abdul Aziz pada Isnin lepas kononnya ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa ahli atau penyokong parti itu ke syurga adalah salah dan menyeleweng daripada Islam sebenar.

Pengerusi jawatankuasa itu Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin dilaporkan berkata, keputusan muzakarah itu sudah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya ke188 pada 21 hingga 23 Mac 2001 dan tidak boleh dipertikaikan.

Tiada ulasan: