Ahad, 16 Ogos 2009

Pelbagai insentif untuk pengetua dan guru besar di seluruh negara

BERNAMA


KUDAT: Pelbagai skim insentif akan disediakan kepada para pengetua dan guru besar di seluruh negara sebagai galakan untuk memajukan sekolah masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini adalah antara beberapa langkah yang akan dilaksanakan oleh kementeriannya disamping inisiatif-inisiatif yang sudah diumumkan untuk memastikan pembangunan pendidikan di negara ini.

"Kita juga akan memasukkan prasekolah dalam sistem pelajaran kebangsaan, (kerana ketika ini) ada 40 peratus yang masuk sekolah (Tahun Satu) tidak pergi ke pra sekolah (dahulu), jadi itu kita mahu masukkan dalam sistem.

"Kita juga akan menyediakan sekolah teras yang berdasarkan prestasi tinggi, dimana sekolah-sekolah ini dijadikan sekolah contoh, dan diikuti sekolah-sekolah lain di seluruh negara. Ini beberapa langkah kita akan dilaksanakan di samping inisiatif-inisiatif baru yang akan dilaksanakan," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata sedemikian semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kudat dan Kota Marudu di Dewan Tun Mustapha, di sini hari ini.

Menjawab permintaan Ketua Umno Kota Marudu Mohd Fikri Bahanda untuk memberi perhatian kepada infrastruktur sekolah-sekolah di kawasannya, Muhyiddin berkata beliau sedar bahawa terdapat sekolah-sekolah di pedalaman yang masih lagi tidak mempunyai infrastruktur yang baik.

Secara amnya, dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang digariskan sebelum inipun, beliau berkata perhatian utama telah disebutkan untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Ada beberapa perkara yang dibangkitkan Mohd Fikri dan Ketua Umno Kudat Bolkiah Ismail tadi, soal sekolah, jalan raya, bekalan air, setinggan dan soal perumahan rakyat termiskin.

"Saya tak boleh mengulas satu persatu, tapi saya minta YB berkenaan menulis kepada saya...infrastruktur mana yang kita perlu perbaiki, tambah lagi," jelas beliau.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiripun sudah berkata sasaran NKRA ini perlu dilaksanakan dan tidak mahu melihat Sabah dan Sarawak ketinggalan dari negeri-negeri lain, di mana menteri dari Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri diberi tanggungjawab untuk memantau NKRA bagi kemajuan infrastruktur luar bandar.

Katanya, semua kemudahan asas dan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan jambatan yang mungkin memerlukan berbilion ringgit, perlu dilaksanakan secepat mungkin dalam beberapa tahun ini sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Sebab itu kepimpinan masa kini ada tanggungjawab lebih besar untuk bangunkan luar bandar.

"Ini salah satu tanggungjawab pimpinan kita, jadi bila sebut perjuangan, harus jelas apa yang nak kita perjuangkan, iaitu membela nasib bangsa," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menggesa pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada di setiap kawasan supaya mengenalpasti apa kemudahan-kemudahan yang perlu dilaksanakan mengikut keutamaan.

"Apa makna perjuangan Umno kalau rakyat masih miskin dan papa kedana...NKRA yang dilaksanakan kerajaan ini, saya harap ini akan bawa satu perubahan baru," katanya.

Tiada ulasan: