Isnin, 17 Ogos 2009

Pelajar UiTM dilarang sertai kempen Permatang Pasir

BERITA HARIAN ONLINE


SUNGAI PETANI: Semua pelajar dan kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilarang terbabit sama sekali dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang yang bermula hari ini.

Naib Canselornya, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah, berkata jika ada pelajar atau kakitangan universiti itu, terutama di kampus Pulau Pinang dikesan menyertai kempen parti politik mereka akan dikenakan tindakan tegas.

Katanya, beliau sudah mengarahkan pihak pengurusan UiTM Pulau Pinang mengawasi pelajar dan kakitangan mereka bagi memastikan golongan terbabit tidak menyertai kempen parti politik ketika pilihan raya kecil itu.

"Kita sudah mengarahkan pegawai UiTM memantau bagi mengesan kemungkinan ada pelajar atau kakitangan universiti terbabit dalam kempen sepanjang pilihan raya kecil itu.

"Mereka yang dikesan terbabit dalam kempen itu akan dikenakan tindakan tegas," katanya selepas merasmikan Pusat Islam UiTM Kedah di Merbok, dekat sini, petang semalam.

Sementara itu, Ibrahim juga melahirkan rasa kecewa terhadap sebuah akhbar tabloid milik parti pembangkang beberapa hari lalu yang menyiarkan laporan palsu kononnya ramai pelajar di UiTM Jengka, Pahang, meninggal dunia kerana dijangkiti virus Influenza A (H1N1).

"Akhbar itu menyiarkan laporan tidak bertanggungjawab apabila mengatakan terdapat mayat pelajar bergelimpangan di kampus itu kerana H1N1.

"Ia satu pembohongan besar yang amat dahsyat dilakukan akhbar berkenaan," katanya.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak logik kerana UiTM dan pihak berkuasa lain, termasuk Kementerian Kesihatan, sentiasa mengambil langkah mengawasi jangkitan virus itu.

Katanya, UiTM juga adalah universiti pertama di negara ini yang menubuhkan unit pencegahan H1N1 bagi memastikan penularan virus yang membawa maut itu dapat dibendung daripada menjangkiti pelajar dan kakitangan universiti itu.*

Tiada ulasan: