Sabtu, 22 Ogos 2009

Pasukan khas polis siasat kenderaan SPRM dilempar bom api

BERNAMA


KLANG: Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung kes kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Klang yang dilempar bom api "molotov cocktail" kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop berkata pasukan itu akan meneliti dan menyiasat motif sebenar kejadian yang berlaku di tempat letak kereta bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Klang lama, di Jalan Kota di sini antara pukul 2 dan 3 pagi kelmarin.

"Setakat ini belum ada perkembangan terbaru dan kita belum memanggil mana-mana pihak untuk keterangan lanjut. Bagaimanapun polis telah mengambil keterangan pengadu iaitu seorang pegawai SPRM," katanya kepada pemberita selepas majlis pelupusan barang kes di sini semalam.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan dariPADA pelbagai sudut berhubung kejadian itu dan mendapati kawasan berhampiran kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

Mohamad berkata beberapa botol bom api "molotov cocktail" yang telah pecah turut ditemui di kawasan kejadian selain enam botol bom yang dijumpai kelmarin.

Berhubung kemungkinan kejadian semalam ada kaitan dengan kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor Teoh Beng Hock, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.

Dalam kejadian kelmarin, sebuah kenderaan pacuan empat roda milik SPRM cawangan Klang rosak selepas dilempar dengan enam buah botol bom api "molotov cocktail".

Terdahulu, Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Mislan Tugiu melupuskan 368 set mesin perjudian komputer bernilai RM184,000 setelah mendapat arahan mahkamah bagi 42 kertas siasatan yang diselesaikan sepanjang 2008.

Tindakan pelupusan itu diambil berdasarkan arahan mahkamah mengikut Seksyen 4(A)(B) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mohamad berkata bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, polis merampas 3,338 set mesin perjudian komputer membabitkan tangkapan 291 orang, termasuk pemain dan penjaga di 306 buah premis sekitar Klang.

Tiada ulasan: