Rabu, 26 Ogos 2009

Pas Selangor cabar Majlis Fatwa jumpa Nik Aziz

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Pas Selangor menyokong penuh saranan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar Majlis Fatwa bermuzakarah dalam satu pertemuan berkenaan isu keahlian syurga dan neraka yang dibuat secara langsung oleh televisyen serta media.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, Pas Selangor turut mendesak kepada media untuk melaporkan sepenuhnya kenyataan Nik Aziz.

Menurutnya, media juga digesa untuk tidak hanya melaporkan sebahagian sahaja atau memutar belitkan kenyataan itu.

“Kami tegaskan di sini bahawa polemik ini timbul apabila media memutarbelitkan kenyataan Tuan Guru.

“Kami juga mencabar agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkenaan sikap sesetengah kelompok yang memisahkan antara agama dan politik,” katanya menerusi kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, Pas Selangor turut meminta Majlis Fatwa agar tidak diperalatkan oleh pihak tertentu mengikut kepentingan politik agar dihormati masyarakat sebagai institusi fatwa yang bebas dan berkredibiliti.

Tiada ulasan: