Jumaat, 21 Ogos 2009

Noordin rancang tembak Obama

Reuters


JAKARTA - Siasatan polis berhubung pengeboman dua buah hotel di sini pada bulan lalu mendapati militan-militan turut merancang menggunakan penembak tepat untuk menyerang konvoi Barack Obama ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) tersebut melawat Indonesia, kata seorang pakar perisikan.

Penganalisa perisikan di Pusat Perisikan dan Keselamatan Nasional, Dynno Chressbon berkata, polis Indonesia masih menyiasat sama ada pengeboman berani mati di Hotel JW Marriott dan Ritz Carlton pada 17 Julai lalu itu dibiayai sebuah kumpulan berkait rapat dengan rangkaian Al-Qaeda.

Menurutnya, dua daripada empat suspek yang diburu, Ario Sudarso dan Mohamad Syahrir dilatih sebagai penembak tepat untuk menyerang Obama.

Pihak berkuasa menyiarkan gambar Ario dan Mohamad Syahrir kelmarin.

"Mengenai Obama, mereka merancang menyerang konvoi tersebut di sekitar lapangan terbang dengan raifal berkuasa tinggi MK-IIS yang digunakan kumpulan Taliban di Afghanistan," katanya.

Presiden AS itu dijangka mengadakan lawatan singkat ke Indonesia selepas beliau menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Singapura pada November depan.

Dua penembak tepat itu merupakan anggota kumpulan Negara Islam Indonesia (NII) yang mempunyai kem latihan di selatan Filipina.

Jelas Chressbon, mereka tinggal di bilik 1621 di Marriott selama dua hari sehingga 17 Julai. Mereka mendakwa sebagai krew syarikat penerbangan tetapi polis mengesyaki lelaki-lelaki tersebut terbabit dalam komplot membunuh Obama.

NII turut menerima sokongan kumpulan serpihan Jemaah Islamiah (JI) yang diketaui orang buruan nombor satu di Asia Tenggara, Noordin Mohammad Top.

Tiada ulasan: