Sabtu, 1 Ogos 2009

Najib: Tiada kebaikan berdemo, k'jaan kaji ISA

Abdul Rahim Sabri


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata perhimpunan anti-ISA esok tidak membawa sebarang kebaikan kerana kerajaan telah mengambil pendirian untuk mengkaji semula akta tersebut.

"Saya telah umumkan perkara ini bila saya ambil tampuk kepimpinan (negara), bahawa ISA akan dikaji semula dan kita dalam proses ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno petang ini.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat memberi cadangan dan idea yang bernas mengenai bagaimana hendak memperbaiki undang-undang tersebut.

"Kita dalam proses membuat perbincangan untuk mendapatkan maklum balas rakyat. Buat apa kita buat demonstrasi.

"Demonstrasi tidak menghuraikan apa-apa untuk dipertimbangkan oleh kerajaan. Pindaan ISA ini tidak harus dipolitikkan.

"Kita gubal undang-undng mengikut kehendak zaman dan citarasa aspirasi rakyat Malaysia," tambahnya.

Ditanya mengenai soal keselamatan esok, Najib berkata: "Kita serah kepada polis, kita tidak menguruskan pihak polis. Polis ada tanggung mereka nak mengawal keselamatan negara," tambahnya.

Dua kumpulan merancang untuk mengadakan perhimpunan di ibunegara esok esok - satu pro-ISA dan satu lagi anti-ISA.

Ia membabitkan kumpulan yang diketuai oleh Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) yang pro-ISA dan kumpulan anti-ISA yang diketuai oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

GMI menganggarkan kira-kira 50,000 orang akan menyertai perhimpunan anti-ISA esok.

Polis Kuala Lumpur telah mengarahkan kedua-dua pihak supaya membatalkan perhimpunan itu, tetapi GMI tetap mahu mengadakannya.

Manakala Pewaris pula berkata, pihaknya akan meneruskan perhimpunan pro-ISA sekiranya GMI meneruskan perhimpunan anti-ISA esok.

Polis telah mengadakan sekatan di jalan-jalan utama menuju ke ibunegara mulai pagi tadi bagi menghalang orang ramai menyertai perhimpunan esok ( 1 Ogos ).

Tiada ulasan: