Khamis, 27 Ogos 2009

Musa Hassan disambung perkhidmatan?

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengambil sikap berdiam diri apabila ditanya status kontrak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang akan tamat, 13 September ini.

Beliau enggan memberi sebarang komen sama ada kontrak orang nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan disambung atau sebaliknya.

Malah beliau mengambil pendekatan selamat apabila hanya ketawa sambil berkata, "Tiada komen".

Beliau ditemui pada mesyuarat tertutup antara Malaysia dan Australia untuk membincangkan masalah penyeludupan dan pemerdagangan manusia di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat ura-ura yang mengatakan perkhidmatan Musa akan disambung untuk tempoh dua tahun lagi.

Musa yang dilantik ke jawatan itu pada 12 September 2006 menggantikan Tan Sri Mohd. Bakri Omar, telah dilanjutkan perkhidmatannya selama dua tahun selepas 13 September 2007.

Musa sebelum memegang jawatan tertinggi PDRM itu pernah memegang beberapa jawatan penting dalam pasukan termasuk Ketua Polis Johor dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Musa, yang berkelulusan undang-undang dari United Kingdom itu memulakan perkhidmatannya sebagai inspektor pada 11 November 1969.

Tiada ulasan: