Jumaat, 7 Ogos 2009

Menara telekomunikasi tumbang

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA TERENGGANU: Menara telekomunikasi jalur lebar di Kampung Chagar Batang, dekat Pasir Akar, Besut, tumbang menghempap dan meranapkan sebahagian bangunan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Ahad lalu.

Menara setinggi 35 meter itu baru siap akhir tahun lalu tumbang jam 6.30 petang ketika angin kencang dan hujan lebat, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Nawi Mohamad, berkata ketika kejadian pejabat DUN berkenaan sudah ditutup dan kerugian dianggarkan bernilai RM50,000.

“Petang itu angin agak kencang, tetapi kami tidak menyangka menara yang sepatutnya berdiri kukuh itu tumbang, sedangkan atap rumah penduduk di kawasan berhampiran pun tidak ada yang terbang atau tercabut seperti yang biasa berlaku ketika ribut.

“Saya mengesyaki menara itu tumbang berikutan pembinaannya tidak kukuh. Kita kesal kerana ia baru siap akhir tahun lalu dan tidak sampai setahun ia sudah tumbang,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata, beliau sudah mengarahkan Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN) menyiasat punca runtuhan menara yang dibina kontraktor tempatan melalui projek perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar negeri (T@WAN) yang keseluruhannya bernilai RM15 juta.

Beliau yang ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada penduduk Kuala Ibai Pantai di sini, malam kelmarin turut mendedahkan UPMN yang sudah selesai melawat semua projek menara berkenaan tidak berpuas hati dengan kualiti pembinaannya dan mengenal pasti kelemahan pada beberapa menara yang dibina. "Projek ini membabitkan pembinaan menara telekomunikasi di seluruh negeri dan dijalankan mengikut beberapa fasa. Saya dimaklumkan tiga bulan lalu UPMN melawat semua projek ini di seluruh negeri dan ada beberapa masalah yang ditimbulkan termasuk dari segi struktur binaan dan aspek teknikal. .

"Disebabkan beberapa masalah ini, kita terpaksa tangguhkan pembayaran kepada kontraktor projek berkenaan. Setakat ini, kita belum dapat kenal pasti punca struktur berkenaan runtuh dan UPMN sedang menjalankan siasatan terperinci," katanya.

Tiada ulasan: