Rabu, 12 Ogos 2009

Memo ke KDN isu Al Islam hina Katholik

Jimadie Shah Othman


Selepas membuat laporan polis lebih sebulan, penganut Katholik masih tidak berpuas hati dengan kelewatan tindakan terhadap wartawan Al-Islam yang didakwa menghina agama itu.

"Sampai hari ini tidak ada apa-apa. Sedangkan kita dimaklumkan siasatan telah selesai.

"Tidak dengar pula hendak dakwa (wartawan itu) atau bagaimana," kata seorang penganut agama itu Sudhagaran Stanley.

Pada 8 Julai lalu, Sudhagaran dan rakannya Joachim Francis Xavier membuat aduan polis berhubung isu penyamaran wartawan majalah itu Muhd Ridwan Abdul Jalil sebagai penganut Katholik bagi menyiasat khabar angin terdapat usaha memurtadkan gadis Islam.

Tindakan Muhd Ridwan mengikuti upacara Kristian di dua gereja di Kuala Lumpur – termasuk memakan roti suci yang disuapkan oleh paderi dan memuntahkannya kembali untuk diambil gambar – dianggap menghina Katholik dan menimbulkan provokasi.

Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Sudhagaran berkata, beliau dan Persatuan Peguam Katholik akan mengunjungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada Isnin depan bagi menyatakan kekecewaan mereka itu.

Satu memorandum mendesak tindakan segera berhubung kes itu akan dikemukakan kepada kementerian, tambah Sudhagaran.

Mengulas siasatan terhadap aduan mereka di balai polis daerah Timur Laut, Pulau Pinang, Sudhagaran berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa siasatan kes itu sudah selesai.

"Cuma, katanya, hanya tunggu arahan atasan (untuk tindakan selanjutnya)," kata Sudhagaran.

Tiada ulasan: