Sabtu, 8 Ogos 2009

Melaka hasrat hasilkan vaksin

UTUSAN ONLINE


MELAKA - Kerajaan negeri berhasrat menghasilkan vaksin sendiri bagi menangani penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) yang setakat ini mengorbankan empat penduduk negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, hasrat itu dijangka bakal terlaksana melalui kerjasama dengan dua syarikat bioteknologi dari India.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM2 bilion akan disalurkan bagi pembinaan dua buah kilang bioteknologi syarikat berkenaan di daerah Alor Gajah.

''Saya akan ke India untuk menemui saintis dari syarikat bioteknologi terbabit pada 19 Ogos ini bagi mendapatkan penerangan lanjut dan peluang kita bagi menghasilkan vaksin H1N1 ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Ayer Molek di sini hari ini.

Katanya, pertemuan itu perlu diadakan bagi membolehkan pihaknya mendapat penjelasan terperinci daripada syarikat terbabit mengenai hak pelabelan dan kelulusan dari Amerika Syarikat yang sebelum ini berjaya menghasilkan vaksin sedemikian.

Tiada ulasan: