Selasa, 25 Ogos 2009

MCA Perak: Gantung Presiden MCA

SABAH DAILY


Lima Bahagian MCA di Perak hari ini mendesak Jawatankuasa Disiplin MCA menggantung serta merta presiden parti itu Datuk Seri Ong Tee Keat dan memulakan siasatan terhadap dakwaan sebanyak RM10 juta telah diberi secara peribadi kepada Ong sebagai dana politik.

Timbalan Pengerusi Bahagian MCA Batu Gajah Datuk Lee Kon Yin berkata tuduhan terhadap Ong itu telah mencemar nama baik, imej dan integriti parti.

“Siasatan atau inkues perlu dijalankan segera oleh Jawatankuasa Disiplin untuk mengetahui sama ada benar atau tidak tuduhan terhadap Datuk Seri Ong Tee Keat itu demi menjaga nama baik, imej dan integriti MCA,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lee berkata memorandum mengenai perkara itu yang dihantar hari ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin MCA Datuk Ng Cheng Kiat ditandatangani oleh ahli jawatankuasa bahagian MCA Batu Gajah, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Tambun dan Bagan Datoh.

Beliau berkata jawatankuasa itu perlu mengeluarkan perintah melarang Ong daripada menjalankan tugas atau sebarang urusan atas nama ‘MCA’ sehingga kebenaran terserlah dan namanya dibersihkan.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan semalam menyaman anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM500 juta kerana mendakwa Tiong mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Beliau mendakwa Tiong, Pengarah Eksekutif syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung pemberian RM10 juta yang kemudiannya diterbitkan di laman web Malaysiakini pada Ogos 12 lalu.

Di dalam pernyataan tuntutannya, Ong berkata kenyataan itu tidak benar dan beliau memohon supaya Tiong membuat satu penarikan balik kenyataannya serta permintaan maaf disiarkan di semua surat khabar utama.

Ong mendakwa kenyataan berunsur fitnah itu telah dikeluarkan secara mala fide dan dengan niat jahat bertujuan menghalang penyiasatan yang adil dan betul terhadap penyalahgunaan kewangan oleh Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan peranan KDSB dalam penyalahgunaan kewangan berkenaan.

KDSB merupakan kontraktor siap guna bagi projek PKFZ, yang sedang disiasat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. -

Tiada ulasan: