Jumaat, 7 Ogos 2009

Makmal H1N1 di semua hospital

Oleh ANGELINA SINYANG


SUNGAI BULOH – Kementerian Kesihatan akan menyediakan makmal perubatan untuk merawat pesakit selesema babi atau Influenza A (H1N1) di semua hospital kerajaan di seluruh negara dengan segera.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah tersebut perlu berikutan peningkatan mendadak jumlah pesakit luar yang mahu menjalani pemeriksaan H1N1.

Sebagai contoh kata beliau, Hospital Sungai Buluh di sini yang sebelum ini menerima 200 pesakit luar sehari kini terpaksa merawat 800 pesakit sehari.

“Saya menerima banyak panggilan orang ramai meminta supaya ditingkatkan lagi mutu perkhidmatan di unit rawatan pesakit luar kerana jumlah pesakit meningkat secara mendadak dan menyebabkan mereka beratur panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan meninjau kerja-kerja merawat pesakit luar khususnya mereka yang menjalani pemeriksaan H1N1 di Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, kementeriannya juga akan memastikan jumlah pegawai perubatan mencukupi di semua hospital bagi merawat pesakit H1N1.

Beliau berkata, pihaknya turut membenarkan 22 hospital swasta memberikan suntikan antivirus kepada pesakit H1N1.

Beliau turut meminta rakyat tidak panik dan memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan dalam membantu membendung penularan penyakit tersebut.

“Orang ramai jangan panik sebab wabak H1N1 di negara ini belum sampai ke tahap terlalu serius, malah 98 peratus daripada mereka yang dijangkiti sudahpun sembuh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Malaysia belum mendapat arahan daripada Kerajaan Arab Saudi supaya melarang rakyat negara ini menunaikan ibadat haji.

Katanya, kerajaan hanya diminta mewajibkan bakal haji supaya mendapatkan suntikan vaksin bermusim bagi mengelak mereka daripada dijangkiti penyakit berjangkit.

Tiada ulasan: