Isnin, 17 Ogos 2009

Lesen guaman batal tak jejas calon BN bertanding

Penasihat Undang-Undang Umno sudah buat semakan: Zahid

Oleh Fazli Abdullah dan Norakmah Mat Youb


GEORGETOWN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman, layak bertanding walaupun lesen peguam sivilnya dibatalkan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengakui Majlis Peguam Malaysia membatalkan lesen Rohaizat untuk menjadi peguam sivil, berkata perkara itu tidak menjejaskan peluang untuk bertanding.

"Pembatalan itu tidak menyebabkan beliau tidak layak untuk bertanding sebagai calon BN di Permatang Pasir. Penasihat Undang-Undang Umno sudah semak bahawa beliau masih layak," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang bercakap pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Balik Pulau di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas di sini, semalam.

Beberapa pihak dilaporkan menyebut Rohaizat yang dinamakan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, sudah dibatalkan lesen guamannya oleh Majlis Peguam.

Pendedahan itu dilihat sebagai usaha untuk menjejaskan peluang Setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh untuk berhadapan dengan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man, pada pilihan raya kecil itu, 25 Ogos ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata Rohaizat masih boleh menjalankan khidmat sebagai peguam syarie jika ingin berbuat demikian kerana hanya Mahkamah Syariah negeri yang berhak membatalkan sijil guamannya.

"Itulah sebabnya (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin (Yassin) ketika mengumumkan Rohaizat sebagai calon, beliau disebut sebagai peguam syarie," katanya.

Di BUKIT MERTAJAM, BN akan berusaha memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini, tanpa mengira sama ada dari segi undi atau moral.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Zainal Abidin Othman, berkata jentera BN perlu bersatu padu dan melupakan persengketaan sesama sendiri bagi memastikan matlamat itu dicapai.

"Kita perlu buktikan kepada orang luar bahawa Umno dapat menguasai kerusi DUN Permatang Pasir kerana calon yang diketengahkan adalah terbaik dan disenangi," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh di sini, semalam.

Beliau berkata, Umno Bahagian Permatang Pauh juga perlu bekerja keras memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil itu milik mereka bagi menangkis pandangan serong orang luar terhadap mereka.

"Buktikan pada mereka kita tidak berpecah-belah atau berpuak-puak. Kita boleh bangkit dengan satu tujuan iaitu memastikan kemenangan berpihak pada BN, sekali gus menghapuskan pandangan serong," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, Rohaizat yang juga Setiausaha Umno Cawangan Permatang Pauh; Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man; Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat dan seorang calon bebas Kamarul Ramizu Idris.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 25 Ogos.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari Pas yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 31 Julai akibat sakit jantung.

Tiada ulasan: