Sabtu, 15 Ogos 2009

Lebih 6,000 hektar kawasan di Sarawak terbakar

UTUSAN ONLINE


KUCHING - Masalah jerebu di Sarawak masih berlarutan sehingga semalam dengan 6,528.76 hektar kawasan di seluruh daerah di negeri itu mengalami pembakaran terbuka.

Daripada jumlah itu, 3,864.96 hektar kawasan yang terlibat telah dipadamkan membabitkan 697 anggota bomba dan agensi-agensi bantuan yang lain.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, keadaan cuaca kering di samping kadar hujan yang kurang menyebabkan bertambahnya bilangan kes kebakaran tanah gambut, hutan, belukar dan lalang.

"Punca kebakaran dipercayai dilakukan dengan sengaja oleh pekebun dan juga pihak pengurusan ladang kelapa sawit. Apabila kebakaran merebak menyebabkan ia sukar dikawal sebelum pihak bomba dimaklumkan," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Cho Ha, bomba berhadapan dengan masalah untuk mengawal serta memadamkan api kerana kawasan yang terbakar membabitkan tanah gambut yang jauh dari jalan raya.

Menyentuh usaha pemadaman api, beliau berkata, beberapa teknik telah digunakan antaranya pembanjiran keseluruhan, perparitan, pensektoran, pemisahan kebakaran dan pemadaman terus.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak telah mengarahkan agar jadual harian di balai-balai bomba ditukar kepada 24 jam bagi mempercepatkan proses pemadaman api hutan.

Cuti anggota juga telah ditarik balik dan semua permohonan cuti dibekukan kecuali cuti kecemasan yang melibatkan kematian anggota terdekat.

Berdasarkan taburan kawasan yang terlibat, Kuching mencatatkan keluasan 905.7 hektar kawasan terbakar dengan 895.4 hektar darinya telah dipadamkan.

Sibu pula membabitkan 3,253.70 hektar terbakar dan 1,395.64 hektar dipadamkan, Miri (2,541.47 hektar terbakar dan 484.30 hektar dipadamkan) dan Bintulu (80 hektar terbakar dan 78 hektar telah dipadamkan).

Tiada ulasan: